Peserta Karnival Anak Sihat Anak Selangor (ASAS) yang diadakan di Sekolah Kebangsaan (1) Jalan Batu Tiga, Klang pada 14 Oktober 2023. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Karnival anak sihat dianjur setiap daerah, didik kepentingan makanan berkhasiat

KLANG, 14 OKT : Karnival Anak Sihat Anak Selangor (ASAS) bakal dianjurkan ke sembilan daerah negeri ini bagi menangani isu tumbesaran kanak-kanak.

Ahli penasihat kesihatan awam negeri berkata program itu bertujuan memberi kesedaran kepada ibu bapa kepentingan memberi makanan seimbang kepada anak untuk menangani isu bantut dan obesiti.

“Karnival ASAS ini adalah kesinambungan daripada program pemberian pek makanan berkhasiat secara terus kepada individu terpilih. Namun, kali ini kita anjurkan berkonsepkan karnival dengan pelbagai pengisian menarik.

“Antara pengisian karnival ialah demonstrasi masakan makanan sihat, kaunseling pemakanan dan minda sihat, pameran kesihatan serta saringan kesihatan untuk kanak-kanak secara percuma.

“Kita harap aktiviti ini memberi kesedaran kepada ibu bapa untuk menyediakan makanan bernutrisi kepada anak-anak,” kata Dr Mohammad Farhan Rusli ketika ditemui Karnival ASAS yang diadakan di Sekolah Kebangsaan (1) Jalan Batu Tiga di sini hari ini.

EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin (tengah) bersama Ahli Dewan Negeri Bandar Baru Klang Dr Quah Perng Fei(dua, kiri) dan Ahli Penasihat Kesihatan Awam Negeri Dr Mohammad Farhan Rusli (dua, kanan) di Karnival Anak Selangor Anak Sihat (ASAS) di Sekolah Kebangsaan (1) Jalan Batu Tiga, Klang pada 14 Oktober 2023. Foto SHEEDAFATHIL/SELANGORKINI

Mengulas lanjut, beliau berkata isu kanak-kanak bantut dan obesiti semakin serius serta perlu ditangani segera menerusi kerjasama semua pihak.

“Insya-Allah, tahun depan kita akan beri perincian secara khusus untuk bantu kanak-kanak ini, mungkin akan masuk ke sekolah di sekitar negeri ini dan kenal pasti individu yang ada masalah ini,” ujarnya.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar mengumumkan seramai 2,800 kanak-kanak dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah di Selangor menerima bantuan makanan berkhasiat.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan inisiatif menerusi ASAS itu meliputi pemberian susu tepung penuh krim, biskut, bijirin dan multivitamin dengan peruntukan RM500,000.


Pengarang :