Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan menunjukkan buku Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2024 yang dibacakan ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia MADANI di Parlimen pada 13 Oktober 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Belanjawan 2024 terjemah usaha berterusan ringan kos sara hidup, tingkat peluang kerja

KUALA LUMPUR, 14 OKT: Belanjawan 2024 Malaysia MADANI adalah manifestasi komitmen berterusan kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup dan meningkatkan peluang pekerjaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Anwar berkata belanjawan yang bertemakan “Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat” itu juga menterjemahkan usaha Kerajaan Perpaduan dalam menyokong iklim pelaburan yang kondusif dalam suasana global yang kian berubah.

“Belanjawan Kerajaan Persekutuan 2024 memberi penekanan terhadap pertumbuhan ekonomi yang mampan dan pro-rakyat, seiring hala tuju ekonomi baharu,” kata Anwar.

Dalam hantaran sama Perdana Menteri turut berkongsi beberapa infografik ringkasan intipati Belanjawan 2024.

Ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat semalam Anwar mengumumkan peruntukan berjumlah RM393.8 bilion iaitu belanjawan tertinggi pernah dibentangkan yang menggariskan tiga tumpuan iaitu tatakelola terbaik demi ketangkasan perkhidmatan, penstrukturan semula ekonomi bagi melonjak pertumbuhan dan peningkatan darjat hidup rakyat.

Beliau berkata Belanjawan 2024 menyaksikan hasil negara bertambah berikutan penstrukturan semula ekonomi dan fiskal serta pelaksanaan reformasi percukaian dan subsidi bersasar akan dimanfaatkan sebaiknya untuk mengangkat darjat hidup rakyat.

– BERNAMA

Foto Facebook Anwar Ibrahim

 

 

 

 


Pengarang :