Sebahagian daripada Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar Kuala Lumpur. PPR dibangunkan khusus untuk kelompok masyarakat berpendatan rendah. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Peruntukan perumahan dalam Belanjawan 2024 bukti golongan B40 tidak dipinggir

KUALA LUMPUR, 14 OKT: Pelbagai peruntukan yang disediakan dalam Belanjawan 2024 untuk kumpulan berpendapatan rendah B40 menunjukkan banyak usaha kerajaan untuk memastikan tiada sesiapa yang dipinggirkan dalam soal perumahan.

Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) berkata inisiatif itu termasuk RM546 juta diperuntukkan untuk Program Perumahan Rakyat (PPR) di Johor; RM358 juta untuk pembangunan 3,500 unit kediaman di bawah 14 Program Rumah Mesra Rakyat; dan RM460 juta kepada golongan yang sangat kurang berkemampuan di kawasan luar bandar untuk membina atau membaiki rumah, akan membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia memiliki rumah.

“Penambahan Skim Jaminan Kredit Perumahan sehingga RM10 bilion untuk memanfaatkan 40,000 peminjam juga merupakan berita yang amat dialu-alukan, yang kami harap dapat membantu meningkatkan pemilikan rumah dalam kalangan pekerja ekonomi gig dan mereka yang tidak mempunyai penyata pendapatan bulanan,” kata Rehda dalam kenyataan.

Sementara itu, ia juga menantikan lebih banyak maklumat mengenai pelonggaran syarat untuk program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) dan berharap ia akan dimasukkan dalam penglibatan dan perbincangan berkaitan MM2H.

Bagaimanapun, persatuan itu melahirkan kebimbangan terhadap cadangan mengenakan duti setem pada kadar rata empat peratus ke atas surat cara pindah milik harta tanah oleh individu bukan warganegara dan syarikat milik asing.

Walaupun bilangan pemilikan asing di Malaysia sedikit sahaja, ini mungkin tidak menggalakkan pemilikan rumah dan MM2H kepada mereka yang ingin berhijrah ke Malaysia pada masa hadapan.

– BERNAMA


Pengarang :