MBSJ menganjurkan sesi Townhall Bajet MBSJ 2024 di The Saujana Hotel Golf Resort pada 15 Oktober 2023. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBSJ anggar belanja RM300 juta tahun depan, realisasi bandar raya pintar, berdaya huni

SUBANG JAYA, 15 OKT : Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mencadangkan anggaran perbelanjaan berjumlah RM336.23 juta tahun depan bagi mencapai matlamat bandar raya pintar dan berdaya huni.

Datuk Bandarnya berkata sebanyak RM222.73 juta atau 66 peratus diperuntuk bagi belanja mengurus dan RM113.5 juta atau 34 peratus lagi belanja pembangunan.

Menurut Mohd Fauzi Mohd Yatim, pembangunan dirancang menumpukan enam ciri iaitu bandar selamat, bandar pintar, bandar sejahtera, bandar sihat, bandar hijau dan bandar makmur.

“Anggaran belanjawan tahun 2024 yang dibentangkan hari ini merupakan iltizam yang memperlihatkan komitmen warga kerja MBSJ bagi terus memberi perkhidmatan terbaik dan berkualiti kepada seluruh warga kota Subang Jaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas program Sesi Townhall Bajet MBSJ 2024 yang diadakan di The Saujana Hotel Golf Resort di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Fauzi berkata pembangunan di bandar raya itu turut menekankan penggunaan  teknologi moden untuk memenuhi keperluan dan gaya hidup semasa dan masa depan.

“Semua usaha ini demi untuk mewujudkan kehidupan bandar yang bahagia, sejahtera, harmoni dan mampan untuk warga Subang Jaya,” katanya.

Datuk Bandar Subang Jaya Mohd Fauzi Mohd Yatim ketika berucap pada sesi Townhall Bajet MBSJ 2024 di The Saujana Hotel Golf Resort pada 15 Oktober 2023. Foto MBSJ

 


Pengarang :