Aksi Lee Zii Jia ketika menentang pemain China Li Shi Feng dalam Terbuka India pada 20 Januari 2023. Foto Facebook BAM
AGENDASUKANKINI

Zii Jia juara Terbuka Artik 2023, tamat kemarau 17 bulan tanpa gelaran

KUALA LUMPUR, 15 OKT: Pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia boleh tersenyum lebar apabila akhirnya berjaya menamatkan kemarau 17 bulan tanpa sebarang gelaran selepas muncul juara kejohanan badminton Terbuka Artik 2023 di Vantaa, Finland, hari ini.

Pada aksi final di Arena Vantaa Energia, pemain ranking ke-14 dunia itu kembali berada di landasan sebenar selepas mengenepikan cabaran rakan senegara, Ng Tze Yong, dalam pertarungan 40 minit.

Pemain kelahiran Kedah itu mempamer aksi menarik apabila menang set pertama dengan keputusan 21-14 sebelum meneruskan momentum di set kedua 21-15 ke atas lawannya yang menghuni ranking ke-19 dunia.

Kejayaan itu sekali gus menyaksikan Zii Jia melebarkan rekod kemenangannya kepada dua kali ke atas Tze Yong sepanjang dua pertemuan selepas Terbuka Australia, pada Ogos lalu.

Kali terakhir Zii Jia meraih gelaran juara adalah ketika mengungguli Terbuka Thailand pada Mei tahun lalu.

– BERNAMA


Pengarang :