Foto Facebook Persatuan Badminton Malaysia
AGENDASUKANKINI

Tze Yong, Zii Jia berentap di perlawanan akhir badminton Terbuka Artik

KUALA LUMPUR, 14 OKT: Dua pemain perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong meneruskan aksi cemerlang di kejohanan badminton Terbuka Artik 2023 di Vantaa, Finland apabila masing-masing memenangi perlawanan separuh akhir malam ini untuk melangkah ke final.

Lebih menarik, Zii Jia dan Tze Yong akan membuat perhitungan antara satu sama lain esok sekali gus membuktikan siapa yang bakal menjadi pemain perseorangan utama lelaki Malaysia masa ini.

Dalam pusingan separuh akhir di Arena Vantaa Energia malam ini menyaksikan Zii Jia menumpaskan pemain nombor 10 dunia dari Denmark, Anders Antonsen 21-17 pada set pertama.

Set kedua menyaksikan Zii Jia dilihat mendahului 9-6 bagaimanapun perlawanan dihentikan seketika  susulan terdapat cecair menitis di atas gelanggang sebelum kemenangan memihak kepadanya 13-8 apabila Antonsen mengalami kecederaan kaki dan memaksanya menarik diri daripada meneruskan perlawanan.

Kemenangan malam ini menyaksikan pemain kelahiran Kedah itu akan bertemu Tze Yong yang menyingkirkan pilihan ketujuh kejohanan dari Jepun, Kanta Tsuneyama dengan mudah 21-12, 21-16.

Sebagai rekod ini merupakan kemaraan pertama Zii Jia dan Tze Yong ke final bagi musim ini.

Dalam pada itu, nasib berbeza menimpa beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei gagal melayakkan  diri ke final selepas ditewaskan pasangan pilihan keempat kejohanan dari China Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin 21-17, 13-21, 14-21.

— BERNAMA

 


Pengarang :