Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mencuba laluan Autogate Dwi-Arah Dengan Pengecaman Muka Jabatan Imigresen Malaysia pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Kompleks Setia Perkasa, Putrajaya pada 12 Oktober 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Peruntukan KDN meningkat bukti kerajaan serius jaga kesejahteraan, kedaulatan

KUALA LUMPUR, 14 OKT: Peruntukan lebih RM19 bilion iaitu meningkat lebih RM500 juta untuk Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam Belanjawan 2024, memperlihatkan keseriusan kerajaan memastikan agensi penguatkuasaan terus memperhebatkan tindakan dalam memelihara kesejahteraan rakyat.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata peruntukan itu membolehkan pelbagai usaha dilaksanakan bagi menangani ketirisan hasil dan penyeludupan, selain operasi bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan agensi penguatkuasaan lain ditingkatkan.

Beliau berkata KDN amat berbesar hati atas perhatian dan peruntukan diberikan kerajaan selaras peranan besarnya memastikan kedaulatan negara sentiasa terpelihara termasuk memperkukuhkan keselamatan sempadan, perairan serta pintu masuk antarabangsa negara.

“Peningkatan keseluruhan peruntukan KDN ini berbanding 2023 menggambarkan peranan penting KDN sebagai pemangkin kerangka Ekonomi MADANI: Memperkukuh Perpaduan dan Keselamatan Negara,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Secara keseluruhan, menurutnya KDN diperuntukkan sebanyak RM19,066,051,500 terdiri daripada RM13,986,823,700 bagi perbelanjaan mengurus dan RM5,079,227,800 bagi perbelanjaan pembangunan, iaitu kenaikan sebanyak RM547,360,200 atau 2.95 peratus berbanding Belanjawan 2023.

Antara inisiatif di bawah belanjawan itu ialah pewujudan Baitul Mahabbah iaitu penyediaan penempatan sementara kanak-kanak dari pusat tahanan imigresen dengan peruntukan RM10 juta dan mempertingkatkan fungsi Pusat Respons Scam Kebangsaan dalam membanteras jenayah scam dengan peruntukan RM20juta.

Selain itu, sebuah agensi tunggal sempadan negara akan diwujudkan dengan RM20 juta telah disediakan bagi menyelenggara dan memperoleh harta modal atau aset di pintu masuk antarabangsa negara.

Belanjawan itu juga memperuntukkan penambahan aset perairan melibatkan sembilan kapal ronda generasi baharu dan bot pemintas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia serta perolehan tujuh pesawat enjin berkembar dan lima helikopter ringan PDRM.

Saifuddin Nasution berkata peruntukan itu juga dicadang diguna pakai untuk memperkasakan Program Peluang Kedua Anda oleh Jabatan Penjara, pembinaan kuarters melibatkan anggota polis dan penjawat awam dan penambahan bilangan anjing pengesan (K9) untuk polis bagi tujuan pencegahan jenayah dan dadah.

Menurutnya bagi mendepani cabaran dalam memelihara keselamatan dan ketenteraman awam serta memastikan kedaulatan negara terjamin, KDN akan terus bersama kerajaan dalam mempertingkatkan keberkesanan serta kecekapan dalam perkhidmatan kepada rakyat dan negara.

“Saya yakin inisiatif Belanjawan MADANI ini akan memperkasakan agensi penguatkuasaan di Malaysia sepanjang pentadbiran Kerajaan Perpaduan,” katanya.

— BERNAMA


Pengarang :