Foto Facebook BAM
AGENDASUKANKINI

Sukan Asia: Zii Jia lawan juara dunia di suku akhir esok

HANGZHOU, 3 OKT: Bekas Juara All England Lee Zii Jia dengan mudah mengatasi cabaran dalam pusingan kedua di Sukan Asia dan bakal berhadapan dengan Jaguh Dunia Kunlavut Vitidsarn dari Thailand bagi menentukan tempat ke suku akhir, esok.

Selepas menyingkirkan Angus Ng Ka Long dari Hong Kong dalam pusingan pertama semalam, pemain nombor 19 dunia, Zii Jia dengan mudah menewaskan  Mourinho Zefi Costa Gusmao De Jesus dari  Timur Leste 21-0, 21-7 dalam masa 17 minit di Gimnasium Binjiang di sini hari ini.

Bagaimanapun, Zii Jia akan diuji ketika berhadapan Kunlavut dalam pusingan ketiga selepas pemain Thai itu mendapat bai dalam pusingan pertamanya.

“Sudah tentu setiap orang tahu keutamaan perlawanan seterusnya menentang Kunlavut. Ia merupakan cabaran hebat buat saya, “ kata Zii Jia yang disingkirkan dalam pusingan ketiga semasa Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018.

Beliau seorang pemain yang gemar bertahan, bermain secara rali, jadi esok keutamaan saya ialah untuk bertenang.  Beliau akan lebih berkeyakinan selepas memenangi kejohanan dunia,” Kata Zii Jia kepada wartawan selepas perlawanan.

Walaupun Zii Jia yang beraksi dahulu hari ini menjangkakan Kunlavut akan dengan mudah menumpaskan pemain nombor 104 dunia Nguyen Hai Dang tetapi pemain Thailand itu terpaksa bangkit untuk menundukkan wakil Vietnam itu 17-21, 21-18, 21-15  dalam perlawanan selama hampir 100 minit.

Kunlavut merupakan pemain perseorangan lelaki Thailand yang julung kalinya menjadi Juara Dunia selepas mengalahkan   Kodai Naraoka dari Jepun di Copenhagen, Denmark, Ogos lepas.

Berdasarkan rekod, kedua-dua Zii Jia dan Kunlavut masing-masing memenangi tiga daripada enam perlawanan antara mereka sejak 2016 tetapi pemain Thailand itu merupakan pemenang dalam dua perlawanan terakhir mereka di Final Jelajah Dunia 2021 dan Terbuka Jerman 2022.

Bekas Juara Remaja Dunia, Goh Jin Wei juga mara ke pusingan ketiga selepas mengalahkan Vu Thi Anh Thu dari Vietnam 21-10, 21-13.

Pemain berusia 23 tahun itu bakal bertemu pemain pilihan kelima kejohanan Gregoria Mariska Tunjung dari Indonesia yang menyingkirkan wakil India Ashmita Chaliha, 21-17, 21-16.

Sementara itu nasib tidak menyebelahi K. Letshanaa yang kali pertama bertanding di Sukan Asia apabila tewas  13-21, 10-21 kepada wakil Thailand Busanan Ongbamrungphan.

— BERNAMA


Pengarang :