BUDAYARENCANA

Meletak jawatan sebagai anak sulung

Oleh Stefanie Kaso
Charlie James
No.14 Taman Beringin
Jalan Rimbunan
96800  Kapit
________________________________________________________________
Mama Charlie
No.14 Taman Beringin
Jalan Rimbunan
96800 Kapit                                                                                    18 Ogos 2023

 

Mama;

MELETAK JAWATAN SEBAGAI ANAK SULUNG

Dengan segala hormat dan penuh kasih, mama dengarkanlah. Sudah lama aku ingin memberitahu mama mengenai hal ini tetapi situasi tidak pernah berpihak kepadaku.

2. Aku Charlie anak mama, ingin memaklumkan hal mengenai peletakan jawatan sebagai anak sulung di rumah yang kita diami, berkuat kuasa pada saat surat ini sampai dalam pelukan mama.

3. Mama tentu tertanya-tanya, kenapa anak sulung mama mengambil keputusan sebegini nekad, sedangkan tanggungjawab ini sebetulnya dipikul kerana pertalian darah antara kita.  Kerana memang benar aku anak sulung. Jangan bimbang, mama. Keputusan ini bukan sengaja aku ada-adakan. Aku ada sebab-sebab kukuh. Dengarkanlah mama.

4. Mama ingat? Sejak kebelakangan ini mama sering pulang lewat kerana bekerja lebih masa. Mama meninggalkan aku, Tommy dan Sally sendirian di rumah. Kata mama, aku sudah besar. Bantu mama tengok-tengokkan adik, ya? Buat seperti yang mama suruh, seperti selalu. Mama pulang agak lewat. Lalu, siapa yang mahu tengok-tengokkan aku, mama? Rumah kita terlalu sunyi, terutamanya pada waktu malam. Selalu, aku tidur memeluk Tommy dan Sally memujuk mereka, supaya jangan takut setiap kali mendengar lolongan anjing liar di luar. Mendengar lolongan anjing tidaklah menakutkan bagi aku, mama. Aku sebetulnya sangat takut mendengar suara-suara pemuda di luar rumah kita yang sedang minum dan mabuk sehingga pagi.

5. Tommy dan Sally juga selalu menjengkelkan aku. Mereka tidak pernah mendengar kata-kata aku. Minta itu ini, tidak pernah mahu tidur jika disuruh, terpekik-pekik, sering mengganggu ketika aku membuat tugasan sekolah. Mama tahukah? Gara-gara terlalu letih menjaga mereka berdua, aku sering terlupa membuat tugasan sekolah. Mama tahu, bukan? Murid yang sering tidak membuat tugasan sekolah akan didenda.

6. Tidak, mama. Aku bukan mahu menyalahkan mama kerana didenda. Itu kesalahanku. Maksud aku, kenapa mama tidak pernah bertanya tentang hari aku? Tentang semua hal yang berlaku di sekeliling aku? Di sekolah, di rumah. Aku mahu mama bertanya semua hal kepadaku. Meski hanya soalan begini – anak mama sudah makan? Apa yang anak mama buat hari ini?

7. Soalan-soalan kecil seperti itu. Seperti yang selalu aku tanyakan pada mama setiap kali pulang dari tempat kerja. Aku mahu tahu tentang hari mama, maka aku selalu bertanya. Kerana setiap kali menjawab, mama pasti sedikit tersenyum. Dan senyuman mama, adalah sesuatu yang langka sejak kebelakangan ini. Lihat, mama? Aku juga mempelajari perkataan baharu di sekolah. Langka. Sudah tentu, di sekolah aku tidak bermain sepanjang masa. Aku juga menumpukan perhatian, seperti yang mama pesan setiap hari sebelum turun ke sekolah. Hanya mama yang kurang menumpukan perhatian sejak kebelakangan ini.

8. Mungkinkah, jika aku hanya anak mama dan bukannya anak sulung, adakah mama membiarkan aku keseorangan? Atuk kata, beban. Aku tahu tentang beban kerana aku pernah melihat atuk memikul guni baja di kebun buahnya. Badan atuk membongkok kerana beban guni baja yang berat. Malamnya, atuk meminta aku menyapu ubat di belakang atuk. Beban seperti itu mama, cuma beban aku tidak dapat dilihat, tetapi aku merasainya. Bukan di belakang tetapi dalam dada. Aku ingin menjadi anak mama sahaja, bukan anak sulung.

9. Hanya kerana aku anak sulung, mama mengharapkan aku mengalah dengan adik-adik, bukan? Aku tahu mama bekerja siang dan malam untuk kami. Masih, makanan yang lazat di rumah kita juga sangat langka. Langka lagi mama. Selalu, mama meminta aku berkongsi makanan yang enak dengan adik-adik, tetapi kerana aku tahu makanan itu tidak cukup, aku biarkan mereka sahaja yang makan. Walau mama tidak menyuruh, aku tetap akan melakukannya kerana sudah terbiasa dengan mama yang berharap padaku sebagai anak sulung.

10. Lagi pula, apa guna aku menjadi anak sulung jika aku tidak mampu berbuat apa-apa untuk mama? Mungkin mama tidak sedar kerana terlalu letih, aku selalu berbaring di tepi mama. Aku selalu memerhatikan wajah mama. Kadang-kadang aku dekatkan wajahku pada wajah mama. Hanya untuk memastikan, mama baik-baik sahaja. Tetapi yang aku dengar adalah bunyi lapar yang datangnya dari perut mama. Katakan kepadaku, bagaimana aku mahu berkongsi makanan dengan adik-adik jika mama juga sering lapar?

11. Sebab paling kuat, kenapa aku mahu meletak jawatan sebagai anak sulung adalah kerana aku sangat benci dengan rumah kita. Tidak mama, bukan kerana ia tidak cantik. Kebencianku hanya pada satu ruang dalam rumah kita, iaitu ruang tamu. Ruang tamu tempat kita berempat tidur, yang dulunya berlima ketika ayah masih ada. Setiap kali sebelum tidur, bangun pagi, ketika aku berbaring dan berfikir, setiap kali aku mendongak atap rumah yang bocor ketika hujan lebat, aku pasti terpandang rangka kayu atap yang sama.

12. Maaf, mama. Aku masih dapat merasakan hujung kaki ayah menyapu-nyapu mukaku ketika aku berbaring. Aku masih dapat melihat kesan tali yang berbirat pada rangka kayu atap yang berada betul-betul di atas kepalaku. Sejak itu, aku tidak gemar tidur terlentang. Pada hari itu, aku cuma berpura-pura tidur sedangkan aku lihat segalanya, mama. Aku dengar bunyi sesuatu yang telah patah, seperti ranting kayu kena pijak. Dengar, dengar. Aku benci ruang tamu kita, mama. Dan mama, cuba menambah kesan biratan pada atap kayu itu. Aku tahu mama, kerana aku melihat mama ingin melakukannya.

13. Aku harap permohonanku akan mama tunaikan. Jadikan aku hanya sebagai anak mama, bukan anak sulung yang mama harapkan kelak, menanggung segalanya kerana ketiadaan mama. Mama tetaplah jaga aku, Tommy dan Sally. Aku tidak akan mampu mengganti tempat mama atau ayah. Bolehkah mama menunaikan permohonan kecilku, memandangkan aku memintanya dengan surat ini?

Yang merayu,

CHARLIE

 

 


Pengarang :