Orang ramai membeli barangan keperluan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran ketika program Jualan Ehsan Rahmah DUN Batu Tiga di Pangsapuri Seri Kayan pada 15 Oktober 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jualan murah barangan asas di Dengkil, Hulu Bernam, Batu Tiga hari ini

SHAH ALAM, 25 NOV: Orang ramai berpeluang mendapatkan pelbagai barangan asas pada harga murah dalam program Jualan Ehsan Rahmah (JER) di tiga lokasi hari ini, bermula jam 10 pagi.

Program kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu diadakan di kuarters polis Seksyen 20 (Batu Tiga); padang awam Kalumpang, Hulu Selangor (Hulu Bernam) dan pekarangan Dewan Komuniti Putra Perdana, Jln PP 1A, Taman Putra Perdana (Dengkil).

Program JER itu menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 setiap pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Pada 22 September, EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata Selangor membelanjakan subsidi berjumlah RM40 juta untuk melaksanakan jualan murah di hampir 2,850 lokasi yang memanfaatkan lebih 5 juta rakyat.

Selain menganjurkan jualan murah di lokasi terpilih pada setiap hari kecuali Jumaat dan cuti umum, PKPS turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Segi Fresh bagi memperluas capaian kepada penduduk setempat.

Pasar raya itu dilantik sebagai rakan strategik PKPS bagi pelaksanaan program JER termasuk penyediaan lokasi jualan dan logistik di 55 premis Segi Fresh.

PKPS juga pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menghadiri Majlis Penganugerahan Malaysia Book of Records (MBOR) kepada Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif PKPS Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi (kanan) dan Ketua Pegawai Pemasaran MBOR Jwan Heah pada majlis di Wisma PKPS Shah Alam pada 15 Mei 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Mulai 2022, Kerajaan Negeri melancarkan program jualan murah, lanjutan Program Agro Prihatin Selangor yang diperkenal pada 2 Jun 2021 menerusi Pakej Kita Selangor 2.0. Ia bertujuan mengatasi lambakan hasil tani akibat pandemik Covid-19.

Program itu kemudian dijenamakan sebagai Jualan Prihatin Rakyat pada 28 Februari 2022. Pelaksanaannya dilanjutkan sehingga Julai 2022. Pada 30 Ogos 2022, ia diumumkan pula sebagai Jualan Ehsan Rakyat.

Ia kemudian ditukar kepada Jualan Ehsan Rahmah selepas PKPS bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :