BUDAYARENCANA

Yang memagari Bulan

Oleh Azrie Izham Hamzah
Ilustrasi Fahmi Mustaffa

Seakan nyawa tidak bernilai, bukankah mereka juga layak untuk hidup? – Bulan

Pagar berfungsi sebagai pelindung sekali gus pemisah di antara dunia luar dan ruang selamat bernama rumah. Pagar juga menjadi perangkap yang mengurung atau menyekat apa saja yang tidak sepatutnya berada dalam lingkungannya.

Menonton Pagari Bulan (2023) idea asal Ellyna Ahmad, arahan Raja Mukhriz Raja Ahmad memperkenalkan kita watak Bulan (Nazeera Sardi) yang dipagari kegetiran pendudukan Jepun di Tanah Melayu, atau lebih tepat, negeri Kelantan. Bulan menerusi warkah peninggalannya mengajak kita untuk kembali meneroka sudut pandang pertentangan wanita di kancah peperangan.

Di permulaan, kita disajikan dengan momen pendaratan tentera Jepun di Pantai Sabak. Pantai ini cukup ikonik sebagai medan pertempuran pertama tentera Jepun di Tanah Melayu. Inggeris bersama-sama penduduk tempatan telah memagari pantai dengan benteng berupa batu-batu besar bagi menghalang kemaraan musuh (Jepun) dari laut.

Bulan yang penuh rasa ingin tahu, memanjat sendiri benteng batu menyaksikan gerombolan tentera Jepun yang sudah menguasai kawasan pantai. Di sinilah, keberanian Bulan buat pertama kalinya ditonjolkan. Bulan dalam babak ini, berdiri di atas benteng yang paling tinggi dan menghamburkan kata-kata penuh amarah menghalau tentera Jepun sehinggakan Kuzawa (Alvin Ong) menyifatkan Bulan sebagai ‘bunga liar’ yang berani.

Ayah yang memagari Bulan
Selagi Bulan ada, aku kena ada – Pak Mail

Sebagai satu-satunya lelaki dalam keluarga, Pak Mail (Wan Azli Wan Jusoh) sering dihimpit kebimbangan jika sebarang malapetaka menimpanya. Pak Mail awal-awal lagi mengasuh dan ‘memagari’ Bulan, anak sulung yang menjadi harapan keluarga dalam apa jua situasi yang berlaku.

Seawal babak kredit awal, Bulan digambarkan sebagai seorang wanita pemberani. Bulan cekap dengan selok-belok di hutan dan mahir memburu dengan menggunakan senapang. Bulan juga mewarisi seni bela diri daripada Pak Mail dan bijaksana mengamalkannya dalam pelbagai situasi berdepan tentera Jepun yang mengancamnya.

Sebaik sahaja berita penangkapan Bulan dan adiknya, Kasih, tiba ke pengetahuan keluarga, Pak Mail tenang dan yakin bahawa Bulan berupaya untuk meneruskan kelangsungan hidupnya berbekalkan ilmu yang telah diperturunkan kepada Bulan.

Regu yang setia
Biar mati semua… – Sui Li

Sui Li (Trisha Ooi), regu Bulan yang setia. Mereka terperangkap sebagai wanita penghibur di kem tentera Jepun yang dipagari kawat berduri. Sui Li dan Bulan menyaksikan sendiri nasib yang menimpa teman-teman yang cuba melawan kekejaman Jepun. Sui Li dan Bulan sepakat untuk bersabar dan menurut apa saja kemahuan tentera Jepun kerana matlamat mereka sama; untuk bebas dan kembali ke pangkuan keluarga.

Dalam act kedua, dinamika watak Sui Li semakin lancar. Sui Li yang pada awalnya naif, dan dilihat akur, menyerah dan ingin sentiasa menjadi pilihan pertama Kuzawa.

Apa yang dilakukan Sui Li adalah reaction formation; satu mekanisme bela diri (menurut Freud) yang menyembunyikan motif atau perasaan sebenar dengan menunjukkan tindakan dan ekspresi bertentangan dengan apa yang seharusnya ditonjolkan. Niat Sui Li hanya satu, untuk melindungi Bulan daripada diperlakukan dengan kejam oleh Kuzawa. Sui Li sanggup melakukan apa saja untuk memastikan maruah Bulan terus dipagari kesucian.

Cinta yang memagari Bulan
Saya sayang sepenuh hati – Leftenan Miura

Pagari Bulan sebuah melodrama perang. Penonton sesekali dilegakan dengan babak Bulan-Miura (Aniq Durar), Leftenan Muda dari Okinawa. Bulan tidak sewenang-wenangnya menerima Miura dalam hidupnya.

Miura digambarkan dengan sangat ideal sebagai pelindung kerana prinsipnya yang mempertahankan kehormatan bangsa. Imej Miura yang menawarkan diri sebagai penyelamat dan penyelesai masalah ini akan menjadi lebih menarik jika Miura dipaparkan sebagai seorang leftenan yang berwibawa dan mahir dalam pertempuran jarak dekat.

Perbualan ‘pengenalan’ Bulan-Miura di dapur kem tentera yang dibatasi jeriji tingkap menggambarkan keterbukaan Bulan. Bulan masih berhati-hati untuk ‘membuka pagar’ kepercayaannya kepada sesiapa saja. Apatah lagi, seorang yang leluhurnya adalah bangsa penjajah.

Kepercayaan Bulan terhadap Miura terbina perlahan-lahan. Seperti pintu yang dibuka dengan penuh debar, menantikan apa atau siapa yang sedang menanti di dalam sebuah ruang yang asing.

Bulan akhirnya akur dan membenarkan Miura yang sebelum ini asing, masuk dan bersatu dengan dirinya. Bertitik tolak daripada penyatuan inilah, Bulan dan Miura berhasil menyelesaikan kemelut di dalam dan luar kawat berduri kem tentera.

Empati di dalam pagar
Di sini, kamu bekerja, berbakti untuk Jepun yang memerintah sekarang – Momosan

Medan peperangan tidak selalu menjanjikan empati. Namun begitu, menerusi Pagari Bulan, kita diperkenalkan dengan watak Momosan (Chelsia Ng), seorang wanita penghibur Jepun yang diamanahkan menjaga kebajikan wanita penghibur dalam kalangan orang tempatan, termasuk Bulan dan Sui Li.

Momosan menjunjung tinggi budaya Jepun dan setia berbusana tradisional sekalipun berada di tanah asing. Begitu juga taat setia Momosan kepada pemerintah Kuzawa. Momosan dalam pertemuan pertamanya dengan Bulan dan teman-teman yang ditahan tentera Jepun, berjanji agar mereka tidak akan dicederakan dan akan diberi layanan baik.

Seperti hujan monsun hujung Disember, empati Momosan hadir seakan rahmat kepada wanita dalam tahanan. Empati Momosan pastinya hadir setelah beliau menyaksikan sendiri kekejaman bangsanya terhadap wanita-wanita penghibur sebelum ini. Momosan merelakan dirinya terus terperangkap. Momosan tahu, satu-satunya jalan keluar baginya adalah kematian dirinya sendiri.

Momosan bertanggungjawab memastikan kesihatan wanita di dalam tahanan terjaga. Setiap kali tentera Jepun cuba mengasari wanita, Momosan akan menghalang tegas. Momosan, terbuka mendengar suara dan pendapat Bulan setiap kali timbul kesangsian terhadap sesuatu yang berlaku di dalam lingkungan pagar kem tentera.

Yang memagari dirinya sendiri
Orang perempuan yang ada di sini, kena rampas dari keluarga – Bulan

Kata Bulan, sekiranya riwayatnya dibaca berkali-kali, begitulah kesakitan itu akan terus menghantui. Bulan perlu menapaki jalan berkerikil, setiap tapak pasti mencederakan. Tiada laluan sehalus pasir pantai bagi diri Bulan.

Bulan telah berjanji kepada ayahnya untuk terus hidup sebelum mereka dipertemukan semula di luar cengkaman kawat berduri. Bulan juga telah berjanji kepada Sui Li untuk sama-sama keluar dan kembali mengutip bahagia di bawah renyai hujan.

Bulan jelas dengan matlamatnya; keluar dan kembali ke pangkuan keluarga dengan bermaruah.

Bulan yang muncul di setiap langit malam meninggalkan tanda; Bulan akan bersendiri, mengusung nyawa dan meneruskan hidup. Bulan perlu melindungi dirinya, tanpa berharap pada sesiapa pun. Bulan memagari dirinya sendiri.

Pagari Bulan menawarkan pengalaman sinematik yang memuaskan. Kebijaksanaan Raja Mukhriz menangani kerja penulisan Siti Jasmina Ibrahim terserlah menerusi kejayaan beliau ‘memagari’ kehormatan wanita di layar lebar. Di samping penceritaan yang menarik, Pagari Bulan mewakilkan simbol yang meninggalkan tanda dan makna mempesona seperti kita terpukau melihat bulan penuh di langit malam.


Pengarang :