BUDAYARENCANA

Aduka, dan dunia diam di dalam segaris luka

Oleh Azrin Fauzi

Ilustrasi FAHMI MUSTAFFA

Segaris Luka di Palma—Engkau dimatikan sekejap sebelum terjaga pada pagi yang lebih terik daripada biasa dengan sebelah tangan yang berbalut. Terjaga sebaik sahaja kucing hitam hampiri tangan berbebat yang tergantung di tepi katil untuk menjilat hujung jari-jemari yang makin dilekitkan tanda tanya. Tangan yang berbalut belum menggenggam sebarang jawapan. Dengan kudrat untuk mengingat, ingin kaucengkam detik-detik hangat di ruang terlaknat yang kaufikir selamat—di besmen?—tetapi saat-saat lepas ialah lampias ingatan yang licin dan deras, tidak mampu kaupegang apa-apa. Geliang-geliut kucing hitam sebelum lincah berlari mencari-cari sudut tergelap di dalam bilik. Kucing hitam: sembunyikan jawapan dalam setiap ngiauan? Engkau: dengan kepala digulung pertanyaan demi pernyataan. Yang ingin kauleraikan. “Kenapa tanganku berbalut?” Hanya kerana segaris luka. “Bilanya tangan ini dibalut?” Sejak empat hari yang lalu… “Empat hari yang lalu? Aku dah tak sedarkan diri selama empat hari!” Sejak empat minggu yang lalu. Barangkali empat bulan. Atau empat tahun. “Yang mana satu?” Hanya satu, satu garis luka. Semata-mata. “Semata-mata?” Semata, mata. “Yang belum sembuh?” Maaf, tidak akan sembuh. Engkau ingin lesapkan luka, berparut pun tidak mengapa, untuk kembali mengusap kucing hitam penemanmu. Dan engkau ingin lenyapkan luka, untuk semahu-mahu hilangkan bayang pisau yang tertinggal di palmamu—maaf, takkan sembuh. Engkau meraba-raba saki-baki masa lalu yang membungkus tangan itu. Dengan bebatan yang menyembunyikan segaris luka di palma. Satu garis luka yang bersuara—membisik—di antara dua kata: jangan buka. Entah sudah berapa hari-minggu-bulan-tahun engkau mendekam di dalam bilik ini. Entah sial apa yang telah tangan engkau lakukan. Tangan yang hanya ingin membelai kucing belaan. Juga tangan yang hanya ingin membungkus dosa-dosa yang penuh dalam cerita. Yang terjadi di besmen mesti dikisahkan semula: Pada waktu engkau menapak ke arah dua orang laki-laki sedang berkucupan di dalam sebuah kereta. Mereka bukan pasangan kekasih. Bukan siapa-siapa. Mereka tercampak jauh dari rumah masing-masing sehinggakan terpaksa temukan mana-mana besmen yang kenakan kadar percuma untuk sejam pertama—untuk mereka berdua menjadi diri sendiri walau sementara. Mereka pemandu-penumpang dengan pandang pertama hanyalah wajah songsang masing-masing pada cermin pandang belakang di dalam kelam kereta. Malam pun membongkok di belakang senja. Dan pada detik itulah kaudekati mereka dengan sebilah pisau lipat yang sering temani ke mana-mana. “Jahanam!” Kata terkesat yang sudah kaulupa terpacul daripada mulut siapa. Kerana mata siapa yang terlebih dahulu menangkap siapa? Di balik tiang-tiang tebal sebagai pasak yang dahulunya ghairah menghunjam alam? Mata siapa yang lebih awal melucutkan aib siapa? Mata pisau memantulkan rasa malu dan benci daripada mana-mana wajah bertiga. Ah, mengapa tangan engkau yang terluka? Mengapa—“Aduka!” Jerit engkau kepada kucing hitam dek balutan yang dilerai. Jangan buka. Nah, mata engkau yang galak mengintai! Masing-masing pun membisu, menahan pedih sendiri. Engkau merenung mereka di dalam segaris luka. Dan mereka merenung engkau. Begitu tajam.

Segaris Luka di Langit—Kami ditinggalkan diam-diam di dunia sejurus selepas lamunan panjang pada hari yang lebih gelita daripada biasa. Kami bukannya cahaya mata sesiapa; bukan siapa-siapa; kami belum pernah disentuh cahaya kerana belum pernah punyai mata. Mujurlah punyai telinga. Sesekali terdengar bunyi ngiau mencakar sunyi dunia. Kami dibuang ke dunia untuk melengkapkan sebuah ramalan. Ramalan yang akan menyelesaikan hari-hari tanpa mata generasi terdahulu. Ramalan leluhur yang sudah sekian lama dalam kebutaan, dalam kedukaan. Bermuram durja kerana tidak pernah melihat? Atau duka sampai buta? Atau ada yang permain ramalan dengan mengintip masa depan? Ramalan: kami akan peroleh mata, akan mampu mengecap bahagia disentuh cahaya. Yang maya akan menjadi nyata. Segala apa yang terpancar dalam mimpi-mimpi gelap generasi terbuang, mulai memercikkan nyalanya dalam mimpi-mimpi ngeri kami pula. Tatkala “mati sekejap” itulah kami nampak sesuatu bergolek di atas tanah kontang dengan saki-baki banir yang mereput. Laku jalang orang-orang asing yang dilumatkan dengan laungan berulang-ulang: “Batang-batang balak terbaik kalianlah yang akan langsaikan hasrat kalian juga untuk lengkapkan sebuah ramalan.” Dilunakkan lagi dengan bahasa yang berselindung di belakang bahasa: “Untuk intai masa depan adalah untuk masukkan sebiji mata ke dalam segaris luka.” Bukannya kami tidak pernah membantah. Kalaupun kami berdiam, bukankah diam juga tindak untuk bersuara? Oh, kedengaran lagi ngiauan yang tidak dapat ditebak maksudnya… Biarlah kulit telanjang kami kelak digaringkan matahari, susuk lembik kami kelak dilencunkan keringat sendiri. Senyap-senyap ingin kami selesaikan hari-hari tanpa mata generasi sebelum kami—hari-hari tanpa matahari. Langit hitam pun terbelah tatkala pagi buta terkulai kekejangan. Nikmat semakin hampir untuk menamatkan kedukaan, menamatkan kebutaan. Pada hari yang bermata, walau mata kami pedih ditikam cahaya, semakin jelas hamparan tanah gersang yang bukan lagi ditegakkan bangunan demi bangunan seperti setiap khabar yang dihembus ke telinga kami; bukan lagi ditegapkan binaan dengan tempat letak kereta bawah tanah berkadar percuma untuk sejam pertama; bukan lagi ruang terlaknat yang difikirkan selamat di mana generasi demi generasi yang tidak dipeduli jantan betinanya—sebelum berjantina—mati mengering dan menghamis; bukan lagi ruang bawah tanah yang sentiasa basah dan akan kekal menakung culas dan dosa-dosa pengurus kota, menggenang malapetaka daripada dendam yang dibalas alam; melainkan sebuah busur silang gergasi yang patuh menunggu apa-apa bisikan berbentuk arahan untuk lepaskan anak panahnya tepat ke segaris luka di langit. Segala-galanya daripada batang balak terbaik kami. Semata-mata. Kami melangut ke arah langit bermata satu yang galak mengintai. Beliak mata dia yang telah mencipta dan mencelikkan kami. Kerana menahan pedih sendiri, masing-masing pun membisu. Kami merenung dia menerusi segaris luka. Dan dia merenung kami sebelum sang arbalis kecil berupa makhluk berkaki empat berbulu hitam, dengan kudrat ekornya, menarik picu yang sedang meregang nasib kami pada sebatang anak panah. Dek hanya satu bisikan: lepaskan.


Pengarang :