AGENDAJENAYAH

Caj gunting rambut RM120 terhadap pelancong, pemilik salon didenda RM5,000

KUALA LUMPUR, 7 DIS: Seorang pemilik kedai gunting rambut yang tular di media sosial kerana mengenakan caj gunting rambut RM120 kepada pelancong asing, hari ini didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah gagal memaparkan senarai caj perkhidmatan dandanan rambut.

Hakim Norina Zainol Abidin menjatuhkan hukuman itu ke atas Nurul Jannah Abdullah, 52, selaku Orang Kena Saman (OKS) dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara enam bulan, sekiranya gagal membayar denda.

Wanita itu didakwa gagal memaparkan senarai perkhidmatan yang ditawarkan dan tidak memaparkan caj bagi perkhidmatan dandanan rambut di premis itu di Jalan Bukit Bintang di sini pada 12.26 tengah hari, 11 April lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Perintah 3(1) Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020 dan boleh dihukum di bawah Perintah 5(a) perintah sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul’Ain Shafie daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) memohon supaya OKS dikenakan hukuman berbentuk pencegahan sebagai memberi pengajaran kepadanya selain mengambil kira kesalahan serius dilakukannya.

“Dalam kes ini, pelanggan yang merupakan pasangan pelancong asing telah mempersoalkan harga yang dikenakan terhadap mereka mahal dan tidak masuk akal selain menganggap tiada kawalan harga oleh kerajaan bagi urusan niaga bagi barangan dan perkhidmatan.

Situasi itu turut menjejaskan sektor pelancongan negara apatah lagi kes tersebut tular di media sosial dan mendapat perhatian masyarakat umum,” katanya.

Nurul Jannah yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia menghidap penyakit kanser tahap satu serta menanggung keluarga.

“Saya tidak boleh melakukan kerja-kerja berat, malah rahim saya juga telah dibuang. Saya mempunyai seorang ibu berusia 80 tahun yang sakit di kampung,” katanya dalam nada sebak.

-BERNAMA


Pengarang :