Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Elak jadi mangsa penipuan, orang ramai diminta waspada tawaran penebusan kredit eMadani

KUALA LUMPUR, 5 DIS: Orang ramai diminta waspada berhubung pendaftaran eMadani yang bermula semalam, bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf hari ini mengingatkan orang ramai, agar tidak menekan sebarang pautan daripada mana-mana iklan atau e-mel, serta jangan menggunakan orang tengah sebagai pendaftar, bagi akaun e-dompet.

“Setakat ini, tiada sebarang laporan polis diterima berkaitan penipuan program eMadani, namun langkah berwaspada perlu seperti melakukan pendaftaran program itu melalui penyedia perkhidmatan e-dompet yang mengambil bahagian iaitu MAE, Setel, ShopeePay dan Touch N’ Go eWallet.

“Orang ramai dinasihat untuk mematuhi syarat penggunaan seperti yang ditetapkan oleh kerajaan dan jangan terpedaya dengan tawaran perkhidmatan di media sosial, terutamanya berkaitan penebusan kredit eMadani kepada wang tunai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan bantuan kredit eMadani yang dilaksanakan secara sekali bayar itu dibuka bagi pendaftaran dan tuntutan mulai 4 Disember 2023 hingga 20 Februari 2024, yang akan memberi manfaat kepada 10 juta rakyat dewasa yang layak, melibatkan peruntukan RM1 bilion.

Bantuan itu, disasarkan bagi rakyat berpendapatan tahunan RM100,000 ke bawah melibatkan golongan dewasa berusia 21 tahun ke atas dalam kalangan B40 serta M40.

Media hari ini melaporkan pengguna media sosial mula menawarkan perkhidmatan penebusan tunai atau pemindahan ‘peer-to-peer’ kredit eMadani, menerusi pelbagi paltform media sosial.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil juga hari ini dilaporkan menasihati orang ramai agar tidak terperdaya dengan helah penipuan yang menawarkan khidmat penebusan tunai bagi kredit e-tunai RM100, eMadani.

– BERNAMA


Pengarang :