AGENDAJENAYAH

Lelaki maut digilis selepas terjatuh di atas landasan tren LRT

KUALA LUMPUR, 2 DIS: Lelaki berusia 27 tahun maut akibat digilis tren Transit Aliran Ringan (LRT) selepas terjatuh ke landasan di stesen LRT Dato’ Keramat malam tadi.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Mohd Fabell Md Yasin berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 9.05 malam dan terpaksa mendapatkan bantuan juruteknik LRT untuk menggerakkan tren ke bahagian belakang bagi mengeluarkan lelaki itu.

“Lelaki itu disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pihak petugas kesihatan,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) dalam kenyataan berkata susulan kejadian itu jadual perjalanan LRT Laluan Kelana Jaya terjejas, menyebabkan waktu menunggu yang lebih lama.

Menurutnya perkhidmatan rel alternatif, termasuk perkhidmatan bas sokongan, telah diaktifkan bagi menyokong operasi.

“Pihak Rapid Rail akan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi menyiasat kejadian. Kami memohon maaf kepada semua penumpang yang terjejas akibat kejadian itu, dan atas kelewatan tren malam ini (malam tadi),” menurut kenyataan itu.

– BERNAMA


Pengarang :