AGENDAJENAYAH

Pemandu tular dikejar 28 MPV polis dihukum penjara sebulan, denda RM10,000

PETALING JAYA, 8 DIS: Seorang pemandu kereta Perodua Bezza, yang tular dikejar 28 kereta unit peronda polis (MPV) dari Petaling Jaya ke Cyberjaya, dihukum penjara sebulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku memandu secara melulu serta menghalang tugas polis.

Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapa memerintahkan B.Anbarasan, 27, menjalani hukuman penjara mulai hari ini dan dipenjara lapan bulan lagi jika gagal membayar denda.

Bagi kesalahan memandu secara melulu, tertuduh dihukum penjara sebulan dan denda RM5,000 serta hilang kelayakan memandu selama lima tahun manakala bagi kesalahan menghalang penjawat awam, dia dijatuhi hukuman denda RM5,000.

Anbarasan didakwa memandu kenderaan dengan melulu yang boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna lain di Jalan Utara di sini pada 1.30 pagi 5 Dis lepas mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun serta denda minimum RM5,000 dan maksimum RM15,000.

Dia juga didakwa menghalang Koperal Mohd Faizal Sulong menjalankan tugasnya di lokasi, pada waktu dan tarikh sama mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.

Anbarasan dan isterinya M.Rishlani, 21, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah pisau tanpa kebenaran di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada waktu dan tarikh sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun serta boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Hakim Faiz Dziyauddin, yang menetapkan sebutan kes pada 16 Jan depan, membenarkan pasangan itu masing-masing diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan mereka melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali.

Pendakwaan dikendali oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Sofea Jaysal dan Ahmad Zuhaini Mahamad Amin manakala pasangan itu diwakili peguam Khailash Sharma.

– BERNAMA


Pengarang :