Buku Sejarah Selangor 1766-1939, terjemahan A History of Selangor 1766-1939 tulisan JM Gullick diterbit oleh Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) dengan kerjasama Media Selangor. Foto IBDE
PENDAPATRENCANA

Tegaknya Kesultanan Selangor, dari Opu lima saudara hingga Raja Lumu

Selepas pembunuhan raja pada tahun 1699, keluarga Bendahara naik ke tampuk kekuasaan namun gagal meraih kesetiaan Orang Laut yang menjadi penggerak utama armada laut kerajaan sebelumnya.

Kelemahan pemerintahan baru Johor membuka peluang untuk pemerintah Siak di seberang laut Sumatera menyerang.

Pada detik genting ini, pemerintah Johor mendapat bantuan berharga daripada Bugis bagi menangkis ancaman Siak.

Hasilnya satu perjanjian dimeterai: Bugis akan mempertahankan sultan Johor dan, sebagai ganjaran, baginda akan mentadbir kerajaannya menerusi pelantikan seorang pemimpin Bugis sebagai Yang di-Pertuan (“Yam Tuan”) Muda.

Dalam tradisi Bugis (berbeza dengan Semenanjung Tanah Melayu) jawatan Yam Tuan Muda atau Raja Muda ini sepenuhnya bersifat pelaksana dan baginda tidak akan dilantik menggantikan sultan di atasnya.

Pemimpin Bugis dalam aturan baru ini terdiri daripada lima bersaudara, kadangkala disebut sebagai “Opu” (nama bapa mereka).

Mereka mempunyai pertalian dengan pemerintah Bone di Sulawesi. Daeng Merewah, salah seorang daripada lima bersaudara ini, mengembara jauh sehingga ke negeri Arab sebelum menetap di Linggi sekitar tahun 1711.

Di Linggi, dia bergabung tenaga bersama Daeng Menampok iaitu seorang lagi keturunan Bugis—tetapi tidak memiliki pertalian keluarga yang rapat dengannya—dari Soppeng di Sulawesi.

Dari pangkalan asal mereka di Linggi yang hari ini adalah sebahagian daripada Selangor, Daeng Merewah dan Daeng Menampok berhijrah ke Riau (pada tahun 1722) iaitu ibu kota Johor bagi memperkukuhkan pengaruh politik apabila masing-masing menjadi Yam Tuan Muda dan Raja Tua yakni satu lagi perjawatan adat Bugis dengan tugas “menyelaras hubungan antara pemerintah dan pembesar-pembesar.”

Pengaruh politik

Pakatan antara Daeng Merewah dan Daeng Menampok penuh persaingan dan kerumitan, tetapi kerangka kekuasaan yang diperkenalkan oleh mereka telah diterima sebagai sesuatu yang tidak asing oleh masyarakat Bugis yang bertaburan di sepanjang Selat Melaka, menjadikannya asas bagi kepimpinan mereka ke atas masyarakat itu.

Dalam kalangan lima beradik Opu, Daeng Peranilah yang paling menyerlah. Selepas menempuh banyak pertempuran dan rintangan, puak Bugis berjaya menghapuskan ancaman serangan Siak, tetapi pemerintah Siak terus menyimpan perseteruan.

Sesudah tekanan luar tersebut lenyap, para pembesar Melayu di sekitar takhta Sultan Johor, Sultan Sulaiman (pemerintahan tahun 1721–1760) berusaha menyingkirkan orang Bugis yang kini dianggap sebagai pengacau; akibatnya, bermulalah adu muslihat, pertempuran dan rundingan yang tidak berkesudahan sehingga kadangkala turut melibatkan Belanda dan Siak.

Persaingan merebak jauh ke utara sehingga ke pantai barat Tanah Melayu di Kedah, tempat Daeng Perani dibunuh pada tahun 1724, hingga ke Terengganu di pantai timur yang para penguasanya memusuhi orang Bugis, sampai ke Pontianak di tenggara Borneo.

Walaupun untung-nasib Bugis pasang dan surut mereka berjaya mengekalkan penguasaan di kebanyakan daerah pantai pesisir Selangor yang “kekal sebagai kawasan penting kerajaan diaspora Bugis.”

Namun begitu, pada tahun 1757, Belanda mengusir Bugis daripada kubu selatan di Linggi.

Selepas itu, Kuala Selangor menggantikan Linggi sebagai pusat utama kekuasaan Bugis di wilayah tersebut.

Selari dengan tradisi kekuasaan tidak berpusat Bugis, para pemimpin mereka di Riau membiarkan Selangor di bawah jagaan para pembesar separa-mandiri yang hanya dilibatkan apabila penguasa pusat memerlukan bantuan tenaga kerja dan kapal bagi menyokong operasi di wilayah yang jauh.

Raja Lumu

Raja Lumu adalah anak Yam Tuan Muda kedua, Daeng Chelak, salah seorang daripada Opu lima bersaudara.

Apabila Daeng Chelak meninggal dunia pada tahun 1745, anak saudara lelakinya Daeng Kemboja yakni anak Daeng Perani dianggap orang yang paling layak mewarisi jawatan Yam Tuan Muda.

Daeng Kemboja mengisi jawatan tersebut sehingga meninggal dunia pada tahun 1777.

Raja Lumu masih terlalu muda untuk mentadbir Selangor ketika kemangkatan bapanya yakni Daeng Chelak, maka jawatan itu diserahkan kepada seorang Pemangku (Suliwatang) Daeng La Kanna yang dilihat sedarjat Daeng Kemboja.

Para pemimpin Bugis sejak turun-temurun bercita-cita tinggi dan tegas. Raja Lumu membesar dalam bayangan saudara-saudaranya yang lebih berjaya dan terkemuka.

Jelas bahawa beliau susah hati dan putus harap apabila jawatan tertinggi Yam Tuan Muda yang dipegang ayahandanya dulu diserahkan kepada sepupunya.

Apabila Raja Lumu merebut penguasaan ke atas daerah pesisir Selangor, persaingannya dengan Yam Tuan Muda Daeng Kemboja menjadi makin sengit.

Pertelagahan terbuka tercetus apabila, pada tahun 1766, Raja Lumu yang sewaktu itu hanya dikenali sebagai “Tengku Raja Selangor” (kira-kiranya “Putera Mahkota”), mendesak Sultan Perak Sultan Mahmud menabalkannya sebagai Sultan; pertabalan ini memberikannya daulat, “kurnia tuhan yang menjadi perisai seorang raja.”

Justeru itu, persaingan dinasti terjadi lantaran pembentukan kerajaan Selangor, namun jika hal ini tidak berlaku pada tahun 1766 sekalipun ia tetap akan berlaku dalam keadaan dan masa lain. Disebabkan kedudukan Bugis di negeri Johor semakin lemah, Selangor menjadi kubu kuat utama Bugis di Selat Melaka.

Petikan muka surat 3-7 buku Sejarah Selangor 1766-1939, terjemahan A History of Selangor 1766-1939 tulisan JM Gullick. Ia pernah diterbitkan dalam monograf The Malaysian Branch of The Royal Asiatic Society naungan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj. Diterbit oleh Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) dengan kerjasama Media Selangor, buku itu boleh dibeli melalui bukuibde.com atau di toko Rencana, Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya.


Pengarang :