Kerja membersih tumpahan cat susulan kemalangan di km 381.7 lebuh raya PLUS arah utara dari Behrang ke Slim River pada 13 Januari agar tidak memasuki saliran air
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

LUAS wira tak didendang, gigih pelihara sumber air bersih

Nasib wira tidak didendang, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) diam-diam memantau sumber air mentah tetapi tiada sesiapa menyedari jasanya.

Sumbangannya berjaya mengelak henti tugas loji rawatan air (LRA) kendalian Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Terbukti setiap tahun LUAS semakin cekap mengesan pencemaran sungai. Kod kuning tidak bertukar kod merah, tidak seperti antara 2018 hingga 2020.

Namun akibat tiada gangguan bekalan air yang meluas di Lembah Klang, maka tiada sesiapa memandang tinggi baktinya.

Selaku agensi Kerajaan Negeri yang menguruskan sumber air, LUAS bekerjasama dengan beberapa agensi termasuk Jabatan Alam Sekitar bagi menjayakan Skim Jaminan Air Mentah.

Selain pemantauan kualiti air 24 jam, lembaga ini kerap menjalankan pemeriksaan pelbagai aktiviti yang berpotensi mencemar sumber air antaranya pembentungan, perlombongan, penternakan dan sisa industri.

Kesungguhan kakitangan mereka dipaparkan dalam himpunan foto dan keterangan di Facebook LUAS. HAFIZAN TAIB dan ABDUL RAHIM SABRI menyusun foto terpilih kegiatan agensi tersebut dalam tempoh tiga bulan bermula Disember 2023.

LUAS turut sama membuat pemeriksaan pada 20 Februari bagi memastikan projek pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Seksyen 8, Gombak tidak mengganggu kualiti sumber air

Sampel air diambil dari Sungai Gong, Gombak pada 25 Januari bagi mengenal pasti bahan pencemaran yang disyaki berpunca dari premis berdekatan

EXCO Infrastruktur dan Pertanian Ir Izham Hashim meninjau perkembangan projek tebatan banjir Sungai Klang di Alam Impian, Shah Alam pada 8 Februari

Kakitangan LUAS memeriksa lori yang mengalami tumpahan cecair getah di km 435.4 arah utara lebuh raya PLUS dari Rawang ke Sungai Buaya pada 5 Disember 2023

Pemeriksaan dijalankan di premis ternakan ayam di Kuala Selangor pada 23 Januari bagi memastikan operasinya tidak mendatangkan masalah kepada sumber air

Kerja penyedutan dan pembersihan di aliran Sungai Gong dan Sungai Sembah oleh LUAS di lokasi terlibat ekoran pengesan bau seakan minyak di muka sauk LRA Rantau Panjang pada 25 Januari

Petugas LUAS dan pengendali lebuh raya Anih Berhad membersihkan tumpahan minyak akibat nahas di Genting Sempah pada 23 Disember 2023 supaya kejadian itu tidak mencemar sumber air

Dua kakitangan meletak pelampung penghadang (oil boom) di permukaan Sungai Gong, Gombak pada 25 Januari bagi memerangkap sisa minyak

Petugas menghidu sampel air bagi mengesan punca pencemaran bau di muka sauk Jenderam Hilir, Sepang pada 5 Februari

Tindakan mengawal pencemaran dibuat berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air apabila bacaan mencatat 1 TON (bau nilai ambang) di Sungai Semenyih pada 5 Februari

Pemantauan berkala di tapak cuci dan korek pasir di Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 29 Januari supaya kegiatan itu tidak menyebabkan kekeruhan sumber air

Kerja penyemburan sejenis bahan organik Ecotru Extra bagi merawat kualiti air Sungai Sementa, Klang di jeti pangkalan nelayan pada 7 Disember 2023

Kerja menyedut bahan cemar dari Sungai Gong dan Sungai Sembah dalam daerah Gombak dibuat bagi menyelesaikan masalah bau di muka sauk LRA Rantau Panjang, Kuala Selangor pada 25 Januari

Sekumpulan kakitangan LUAS menjalankan rondaan di Dengkil, Sepang pada 11 Januari bagi memantau aktiviti penjajaran Sungai Paku di daerah itu

 

 


Pengarang :