Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 pada 26 Februari 2024. Turut berangkat ke istiadat itu, Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah. Hadir sama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto Facebook BERNAMA
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Agong tidak layan cubaan gugat kestabilan politik

Titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sempena istiadat pembukaan penggal ketiga Parlimen Ke-15 pada 26 Februari.

Assalamualaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Segala puji bagi Allah, tuhan pentadbir seluruh alam. Selawat dan salam kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad, semulia-mulia Rasul, serta keluarga dan para sahabatnya sekalian.

Yang di-Pertua Dewan Negara, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Ahli-Ahli Dewan Negara dan Ahli-Ahli Dewan Rakyat, saudara saudari yang saya hormati sekalian.

Alhamdulillah, bersyukur saya kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana atas limpah kurnia dan izin-Nya dapat saya hadir ke Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga, Parlimen Kelima Belas pada pagi yang mulia ini.

Istiadat hari ini amat bermakna buat saya kerana ini merupakan kali pertama saya datang ke Bangunan Parlimen ini setelah mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-XVII pada 31 Januari 2024 yang lalu.

Pada kesempatan ini, saya menzahirkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang dan Tengku Ampuan Pahang yang telah menaungi negara dan rakyat jelata selama lima tahun yang lalu dengan adil dan bijaksana.

Insya-Allah, dengan limpah kurnia serta izin-Nya, saya akan memikul amanah yang diberikan dengan jujur dan ikhlas dan meneruskan pemerintahan yang mengutamakan kemakmuran negara dan kesejahteraan hidup rakyat.

Tahniah saya ucapkan kepada perdana menteri dan barisan anggota pentadbiran kerajaan yang telah mentadbir negara dengan sempurna dan tadbir urus yang baik. Pesanan saya, sentiasa hayati denyut nadi rakyat kerana menjadi kewajipan kerajaan untuk membela nasib mereka.

Saudara saudari sekalian,

Saya adalah orang baharu di sini dan belum sampai satu bulan memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong. Oleh itu banyak perkara yang saya kena
belajar.

Ucapan saya hari ini lebih halus kalau dibandingkan dengan ucapan saya di Johor. Saya bagi peluang supaya tidak ada yang tersinggung tapi akan datang harap-harap berjaga-jaga.

Pemerintahan saya sebagai Yang di-Pertuan Agong adalah sama seperti Yang di-Pertuan Agong yang lepas iaitu mengikut Perlembagaan Persekutuan, dasar dan peraturan yang ditetapkan.

Kedudukan saya di sini adalah bagi menjalankan tanggungjawab dan memikul amanah Raja-Raja untuk memastikan kedaulatan tanah air, kemakmuran negara dan kesejahteraan hidup rakyat akan sentiasa dipelihara.

Oleh itu, saya menyeru kepada semua pihak sama ada yang duduk di sebelah kanan atau yang di sebelah kiri, marilah kita bersatu hati, berganding bahu dan bekerjasama untuk membangunkan negara demi kepentingan seluruh rakyat Malaysia.

Di mata saya, kejayaan atau kegagalan negara ini bukan terletak di bahu perdana menteri sahaja, tetapi semua 222 ahli Dewan Rakyat telah diamanahkan oleh rakyat sebagai wakil mereka di dalam kerajaan.

Semua pihak sedia maklum keutamaan saya adalah keadaan hidup lebih 33 juta rakyat Malaysia di luar sana. Oleh itu, saya berharap semua ahli Yang
Berhormat akan menumpukan usaha untuk membela nasib hidup mereka. Bukannya untuk kepentingan parti politik atau diri sendiri.

Ingin juga saya tegaskan di sini yang saya tidak akan melayan sebarang permintaan dari mana-mana pihak yang cuba mengganggu gugat kestabilan politik negara. Semua pihak mestilah menerima kenyataan dan menghormati Kerajaan Perpaduan yang telah dibentuk. Jika ada yang hendak bermain politik, tunggulah masa pilihan raya yang akan datang.

Saudara saudari sekalian,

Suka saya ingatkan bahawa parlimen ini adalah tempat para penggubal undang-undang berhimpun untuk membuat peraturan dan Yang Berhormat ahli-ahli dewan adalah para penggubalnya. Oleh itu, adalah tidak masuk akal jika penggubal undang-undang itu sendiri gagal untuk mematuhi peraturan yang dibuat.

Oleh yang demikian, saya harap semua ahli-ahli dewan akan tunjukkan contoh teladan yang baik apabila berada di dewan yang mulia ini. Jaga adab dan tatatertib serta gunakan tutur kata yang sopan. Bukannya memaki hamun orang lain.

Kalau tengok perangai ahli dewan sebelum ini, saya pun rasa malu hendak masuk ke dewan ini. Yang dipertua kedua-dua dewan, mesti menjalankan tugas dengan tegas untuk memastikan semua ahli masyarakat mematuhi peraturan sepanjang tempoh persidangan.

Saya berikan ‘greenlight’ kepada Speaker untuk ambil tindakan kepada ahli-ahli yang melampaui batas. Boleh kenakan ‘ban’ 14 hari jika ada yang masih degil. Oleh yang demikian saya harap semua ahli-ahli dewan akan tunjukkan contoh tauladan yang baik apabila berada di dewan mulia ini.

Saya perhatikan setelah lebih 60 tahun Malaysia dibentuk, hubungan perpaduan antara kaum masih belum sempurna kerana masih ada generasi hari ini yang gagal menguasai bahasa kebangsaan dan memahami budaya hidup kaum yang lain. Oleh itu, saya menyeru kepada kerajaan untuk merangka satu dasar ke arah perpaduan rakyat yang lebih kukuh dan harmoni.

Pepatah Melayu ada menyebut, “melentur buluh biarlah dari rebungnya” – yang bermaksud jika kita hendak melahirkan generasi masa hadapan yang bersatu padu dan saling memahami, kita mesti membentuk mereka sejak dari kecil.

Saya juga menyeru semua lapisan masyarakat supaya menjaga keharmonian negara dan tidak memainkan isu sensitif yang melibatkan raja, kaum dan agama.

Perlembagaan telah mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi Malaysia dan akan terus kekal dipelihara. Namun begitu, agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman tetapi tidak boleh disebarkan kepada orang Islam. Oleh itu, janganlah ada mana-mana pihak yang cuba menggugat atau mempolitikkan asas perlembagaan ini.

Saya berpuas hati dengan usaha kerajaan dalam menyelesaikan perkara-perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963. Saya berharap agar ianya memenuhi hasrat dan aspirasi demi kemakmuran bersama.

Saudara saudari sekalian,

Saya berasa kecewa apabila dimaklumkan bahawa kerajaan hari ini sedang menanggung beban hutang yang semakin besar, kerana sejak tahun 1998 kerajaan sentiasa berada dalam kedudukan defisit fiskal. Adakah beban hutang ini yang akan kita tinggalkan untuk ditanggung oleh anak cucu kita nanti? Jawapannya ada pada ahli-ahli dewan di sini.

Keadaan kewangan kerajaan yang telah lama lemah ini, adalah sukar untuk kerajaan melaksanakan projek pembangunan baharu atau memberikan suntikan kewangan bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi. Oleh itu saya menyokong hasrat kerajaan untuk mengambil langkah penjimatan termasuk melaksanakan pemberian subsidi secara besar-besaran.

Selain daripada itu, dasar-dasar baharu yang lebih menyeluruh perlu terus diperkenalkan. Antaranya pengenalan kepada Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 yang merupakan satu langkah pembaharuan bagi meningkatkan urus tadbir, pengurusan kewangan awam supaya lebih telus dan bertanggungjawab.

Saya juga sendiri akan meneliti perbelanjaan kerajaan dengan lebih teliti dan memastikan setiap cadangan perbelanjaan adalah untuk perkara yang betul-betul diperlukan. Saya berharap semasa pemerintahan saya ini, kerajaan akan berjaya memperoleh lebihan fiskal setiap tahun.

Kerajaan juga mesti bersikap tegas, bagi membendung ketirisan dan penyelewengan dana awam. Kelemahan urus tadbir ini, semua peringkat perlu diperiksa, termasuk di dalam badan berkanun, dan syarikat milik kerajaan serta anak-anak syarikatnya.

Saudara saudari sekalian,

Pada tahun 2023, kedudukan ekonomi Malaysia telah berkembang sebanyak 3.7 peratus dan kekal mampan walaupun prestasi pertumbuhan ekonomi dan perdagangan global berada pada tahap sederhana. Kadar pengangguran negara berada pada tahap 3.3 peratus dan kadar inflasi sebanyak 2.5 peratus.

Jumlah pelaburan yang diluluskan pada tahun 2023 adalah sebanyak RM329.5 bilion dan telah mencipta lebih 127,000 peluang pekerjaan dalam tempoh yang sama. Bagi perdagangan antarabangsa pula, eksport negara telah mencatat nilai sebanyak RM1.426 trilion pada tahun 2023.

Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara pada tahun 2024 diunjurkan berada pada tahap antara 4 peratus hingga 5 peratus disokong oleh langkah dan pembaharuan yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2024 tempoh hari.

Sebagai langkah jangka sederhana, kerangka Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat yang telah dilancarkan adalah komitmen kerajaan untuk merancakkan dan menstruktur semula aktiviti ekonomi serta pelaburan.

Selari dengan hasrat ini, kerajaan telah merangka Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas dan Belanjawan 2024 yang bakal mengangkat taraf hidup rakyat ke tahap yang lebih tinggi dan sejahtera berlandaskan keadilan sejagat.

Saya juga amat berharap agar kerajaan mengambil pendekatan yang proaktif dalam melaksanakan agenda pembaharuan untuk memperkukuh daya saing negara sebagai sebuah ekonomi yang mampan sejajar dengan keperluan semasa.

Kerajaan juga perlu menyediakan insentif yang menarik dan memudahkan segala urusan melalui tadbir urus yang cekap. Polisi yang dibuat di peringkat persekutuan juga hendaklah disesuaikan dengan keadaan persekitaran di negeri-negeri kerana setiap negeri mempunyai keadaan yang berbeza-beza, terutama dalam sektor pembangunan hartanah.

Saudara saudari sekalian,

Dengan peningkatan taraf sistem pendidikan tinggi dalam negara telah melahirkan ramai graduan yang bermutu tinggi. Namun, peluang pekerjaan yang ditawarkan pada masa ini adalah tidak setaraf dengan kelayakan yang mereka miliki.

Oleh yang demikian, kerajaan perlu berusaha menarik pelaburan yang bernilai tinggi supaya peluang pekerjaan yang dihasilkan akan memberi pendapatan yang berpatutan.

Di kesempatan ini, saya menyeru semua pihak agar memanfaatkan Tahun Melawat Malaysia 2026. Pemilihan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025 akan meneroka peluang ekonomi bagi menjana sumber pendapatan selain mempromosikan budaya dan warisan negara kepada para pelancong yang berkunjung ke negara ini kelak.

Oleh kerana kos import yang semakin tinggi, kerajaan hendaklah meningkatkan usaha dan galakan untuk pengeluaran barangan dalam negara, terutama bekalan makanan harian dan bahan mentah.

Oleh itu, meningkatkan pengeluaran makanan hendaklah dibuat secara lebih tersusun bagi memastikan tahap jaminan makanan negara mencapai sasarannya. Pada masa yang sama, pelbagai program untuk meringankan beban petani, penternak, nelayan dan pengeluar makanan perlu ditingkatkan agar penghasilan dan pendapatan mereka berada pada tahap tinggi.

Saya menyambut baik kedudukan Malaysia di tangga ke-29 dalam Indeks Daya Saing Dunia 2023 dalam aspek kecekapan kerajaan. Saya mengalu-alukan usaha berterusan ini bagi meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap kecekapan perkhidmatan agensi kerajaan.

Jentera kerajaan juga mestilah meningkatkan kecekapan dan mengamalkan prinsip kerja berintegriti supaya pembangunan ekonomi dapat dicapai dengan jayanya. Saya tidak suka dengan sistem yang banyak “red tape”. Oleh itu, kecekapan proses kerja dan tadbir urus setiap agensi kerajaan mestilah sentiasa dinilai dan ditingkatkan.

Agensi penguatkuasaan juga hendaklah menjalankan siasatan dengan lebih cekap dan cepat supaya sesuatu kes itu dapat diselesaikan dengan segera. Semua kes yang telah dibawa ke mahkamah juga mestilah segera diadili supaya kepercayaan rakyat terhadap sistem kehakiman negara sentiasa dipelihara.

Saudara saudari sekalian,

Pendirian Malaysia dalam mendukung keamanan dan menentang keganasan harus disuarakan dengan lebih tegas di peringkat antarabangsa. Selain itu, ada di peringkat ASEAN mahupun dunia, Malaysia perlu terus aktif berperanan bagi memupuk semangat perpaduan dan memacu kemajuan mengambil kira cabaran geopolitik dan perkembangan serantau.

Malaysia perlu tegas menyuarakan pendirian isu Palestin dengan menggesa supaya gencatan senjata segera dilaksanakan dan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza dipercepatkan.

Saya amat menghargai taat setia yang telah dicurahkan kepada saya dan negara tercinta oleh semua anggota perkhidmatan awam, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta seluruh agensi kerajaan yang telah berkhidmat dengan penuh dedikasi tanpa mengenal penat dan lelah.

Terima kasih juga saya ucapkan kepada semua rakyat jelata yang mengekalkan perpaduan yang harmoni, hidup bersatu padu dan berpegang teguh kepada Rukun Negara.

Saya takut ada juga yang tertidur sebab panjang sangat. Jadi saya pendekkan sedikit. (Senyum).

Akhir kata, marilah kita berdoa ke hadrat Allah, semoga negara Malaysia dikurniakan rahmat dan keberkatan, kekal aman, maju dan makmur.

Sekian.

Wabillahi Taufik Wal Hidayah, Wassamualaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh.


Pengarang :