Jentera Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) memasang bendera di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerang, Ayer Hitam sempena pilihan raya negeri Johor ketika tinjauan pada 3 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKIN
AGENDANASIONAL

KEADILAN negeri persoal pendirian PN isu presiden PAS biadab terhadap sultan

SHAH ALAM, 1 MAC: Majlis Pimpinan KEADILAN (MPN) Selangor menyoal pendirian Perikatan Nasional (PN) negeri terhadap kebiadaban presiden PAS yang dimurkai Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

Timbalan Pengerusinya Borhan Aman Shah mempertikai adakah PN sanggup membelakangi titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj semata-mata menjaga hati pemimpin dan penyokong PAS.

“Justeru, MPN Selangor ingin bertanya apakah pendirian Perikatan Nasional Selangor pimpinan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali terhadap kebiadapan Tan Sri Hadi yang dimurkai Sultan Selangor?

“Adakah Perikatan Nasional Selangor dengan sengaja sanggup untuk membelakangi titah ucapan Sultan Selangor hanya semata-mata untuk menjaga hati pemimpin dan penyokong PAS?

EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah bercakap kepada media selepas majlis Perasmian Seminar Mekanisma Pemilikan Hartanah Harga Kawalan Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Shah Alam pada 20 Februari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Ini terbukti dalam kes Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor (pengerusi PN Kedah), PN Selangor kekal membisu meskipun Sultan Selangor dukacita dan murka,” katanya dalam kenyataan pagi ini.

Beliau merujuk surat pejabat Sultan Selangor bertarikh 27 Februari kepada Pesuruhjaya PAS Selangor Dato’ Dr Ab Halim Tamuri berhubung kenyataan Tan Sri Abdul Hadi Awang sebelum ini.

Menurut Borhan, surat tersebut jelas menyatakan dukacita Sultan Selangor terhadap kenyataan Abdul Hadi yang menyinggung tanpa memahami secara menyeluruh titah ucapan Baginda.

Dalam pada itu, beliau berkata MPN Selangor akan terus mendukung usaha perpaduan dan menyelar kenyataan menghina Raja-Raja Melayu yang boleh memecah-belahkan umat Islam di negara ini.

“Agama Islam tidak boleh diperalatkan dan dicemari demi kepentingan politik kepartian masing-masing, itu pendirian kami,” katanya lagi.

Semalam, setiausaha sulit kepada Sultan Selangor menyifatkan kenyataan sinis presiden PAS berhubung sikap “Raja-raja perlu berwawasan kepada kehidupan akhirat dan tidak mengejar kepentingan dunia” tidak bersesuaian dan tidak beradab.

Dato’ Muhamad Munir Bani berkata kenyataan Abdul Hadi itu bertentangan budaya Melayu yang sentiasa menghormati dan memelihara adab ketika menyuarakan pandangan kepada Raja-raja.

Teguran itu menjawab kenyataan Abdul Hadi di Facebook pada 20 Februari yang dipercayai mengulas titah ucapan Baginda ketika mempengerusikan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) pada 15 Februari.

Baginda mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari yang membatal 16 daripada 18 peruntukan enakmen tersebut seperti petisyen yang dibawa peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid.


Pengarang :