Orang ramai memanfaatkan kemudahan kaunter fizikal untuk mendaftar Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) sempena Sesi Town Hall PADU di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam Seksyen 13 pada 23 Mac 2024. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Baki lima hari, kaunter fizikal daftar Padu jadi tumpuan orang ramai

SHAH ALAM, 27 MAC: Rakyat negeri ini memanfaatkan pembukaan kaunter fizikal sistem Pangkalan Data Utama (Padu) bagi mengemas kini maklumat peribadi sebelum tarikh akhir pada 31 Mac ini.

Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Selangor di laman X semalam memaklumkan, orang ramai berpusu-pusu hadir di pejabat UMNO Tanjong Karang, Majlis Perbandaran Kuala Selangor dan Flat Alam Perdana @Johan Court di Puncak Perdana.

Agensi memaklumkan kaunter di Arena Kampung Pasir Tuntong, Bukit Rotan; Pejabat Tanah dan Daerah Klang serta Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Kota Raja turut mendapat sambutan.

Sebanyak empat kaunter yang dibuka sekitar Gombak iaitu di pejabat penghulu Mukim Batu, pasar raya NSK Rawang Jaya, Giant Batu Caves dan Lotus Rawang turut menerima kehadiran ramai.

Sehingga 31 Mac, lebih 50 kaunter fizikal dibuka di sekitar negeri ini bagi memudahkan dan membantu orang ramai mendaftar.

Orang ramai juga diingatkan membawa kad pengenalan diri, salinan kad pengenalan setiap tanggungan serta maklumat akaun bank.

Setakat semalam,  8.09 juta individu mengemas kini data masing-masing iaitu 36.8 peratus daripada jumlah keseluruhan individu berumur 18 tahun ke atas di negara ini.

Individu berumur 18 tahun ke atas terutama ketua isi rumah disaran mendaftar segera dengan sistem Padu bagi mengelak tercicir bantuan atau subsidi bersasar.

Pada 20 Mac, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha dipergiat bagi membantu penduduk mendaftar dan mengemaskini maklumat dalam sistem Padu.

Selain mengunjungi kaunter fizikal, pendaftaran boleh dibuat melalui laman sesawang www.padu.gov.my yang dianggar mengambil masa kurang 10 minit.

Padu yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Januari lalu menjadi platform tunggal untuk meningkat kecekapan pengagihan subsidi serta bantuan kepada rakyat yang layak.


Pengarang :