Penduduk Palestin menghadiri solat Jumaat berhampiran runtuhan masjid yang musnah akibat serangan Israel di Rafah, selatan Semenanjung Gaza 1 Mac 2024. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

Doktor Tanpa Sempadan kongsi keadaan malapetaka di Semenanjung Gaza

KUALA LUMPUR, 17 MAC: Semenanjung Gaza dilanda malapetaka dan tiada perkataan yang dapat menggambarkannya, menurut seorang jururawat Doktor Tanpa Semapadan (MSF) yang berkhidmat di utara Gaza.

MSF menghantar satu klip video selama lebih seminit kepada akaun X mereka mengenai rakaman panggilan telefon dengan seorang daripada jururawat mereka, Loay Harb untuk menerangkan keadaan di sana.

Harb menjelaskan keadaan semasa sebagai malapetaka dan tiada perkataan dapat menjelaskannya, dengan kekurangan makanan dan sokongan perubatan.

Beliau berkata ketiadaan bekalan elektrik, air, tepung ataupun Internet untuk berhubung dengan dunia luar, mengakibatkan penderitaan dalam kalangan penduduk di sana.

“Kami melalui saat getir kerana kepungan, kemiskinan dan kebuluran. Keadaan pesakit adalah sangat kompleks dan terdapat mereka yang hilang tempat tinggal berlindung di hospital yang menjadikan sukar untuk kami menjalankan tugas,” katanya dalam rakaman itu.

Beliau berkata hospital itu tidak dibina untuk menampung jumlah pesakit yang besar dan kerana kesesakan itu katil tidak mencukupi serta ruangan menjadi terhad dan ada pesakit yang terpaksa diletakkan di atas lantai.

Harb merupakan seorang daripada empat staf MSF di Bandar Gaza. Beliau dan jururawat lain merupakan sukarelawan di Hospital Al-Shifa dan mereka menukarkan pembalut untuk pesakit di klinik MSF di Gaza.

Di Klinik MSF, Harb berkata mereka masih menerima pesakit yang melecur dan luka akibat serangan Israel tetapi mereka cuba memberikan penjagaan kesihatan yang asas walaupun dengan sumber yang minimum.

“Ada pesakit yang menghadapi kesukaran untuk sampai ke klinik kami untuk menyambung rawatan kerana jalan raya yang musnah.

Jadi saya sediakan kit pembalut untuk mereka dan saya bimbing mereka bagaimana untuk menukar pembalut mereka,” katanya.

Serangan tentera Israel ke atas Semenanjung Gaza membunuh lebih daripada 31,500 warga Palestin di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak selain mencederakan 73,546 yang lain serta mengkibatkan kemusnahan besar dan kekurangan bekalan asas.

– BERNAMA


Pengarang :