Ahli Dewan Negeri Pandan Indah Ir Izham Hashim mengedarkan juadah berbuka kepada orang ramai Kampung Cheras Baru pada 26 Mac 2024. Foto Facebook Izham Hashim
ADNSELANGOR

DUN Pandan Indah peruntuk hampir RM350,000 semarak program Ramadan

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

SHAH ALAM, 29 MAC: Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah memperuntuk RM348,880 bagi melaksanakan pelbagai program sepanjang Ramadan.

Wakil rakyatnya Ir Izham Hashim berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM52,500 diserahkan kepada tiga masjid dan 31 surau bagi menjayakan program Ihya’ Ramadan.

“Selain sumbangan kepada institusi Islam di DUN ini, bakinya kita sediakan peruntukan bagi program membantu golongan memerlukan.

“Ini termasuklah sumbangan ayam mentah bagi 500 keluarga sebagai persiapan menjelang Aidilfitri tidak lama lagi selain duit raya kepada golongan asnaf dan bakul prihatin,” katanya ketika dihubungi.

Beliau turut memaklumkan sumbangan RM2,000 turut diberikan bagi meneruskan dengan pemberian minyak motor melalui program Jom Isi Minyak Motor Balik Kampung.

Pada 24 Mac lalu, seramai 230 anak asnaf dan dari keluarga kurang berkemampuan di Pandan Indah menerima sumbangan baju raya sempena program Jom Shopping Baju Raya.


Pengarang :