Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohamed Usof Jan Mohamad menunjukkan rampasan dadah pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, 19 Mac 2024. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Edar dadah dalam peket minuman segera, lima ditahan termasuk wanita

GEORGE TOWN, 19 MAC: Polis Pulau Pinang menumpaskan sindiket memproses dan mengedar dadah jenis methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) yang dibungkus dalam peket minuman segera di sebuah apartmen di Jelutong, di sini Ahad lalu.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohamed Usof Jan Mohamad berkata dalam serbuan 12.05 tengah malam itu, polis menahan empat lelaki dan seorang wanita warga Thailand berusia 23 hingga 35 tahun.

“Hasil pemeriksaan lanjut di apartmen itu, polis merampas 74 peket plastik hitam mengandungi 1.62 kilogram MDMA, 38 peket plastik hijau mengandungi MDMA seberat 762 gram (g),15 peket plastik warna ungu (MDMA seberat 600 g), 100 biji pil eramin 5 dan ketamin (12.72g) yang kesemuanya bernilai RM326,686,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini hari ini.

Beliau berkata sindiket itu dipercayai mendapatkan bekalan dadah daripada rangkaian mereka sebelum memproses dan membungkus semula dengan mencampurkan bahan itu dalam pelbagai pek minuman segera terkenal untuk diedarkan ke pusat hiburan sekitar negeri ini.

Mohamed Usuf berkata dalang sindiket itu merupakan lelaki berusia 28 tahun yang tidak bekerja manakala empat lagi individu ialah rakannya yang dipercayai berperanan mengedarkan pek minuman bercampur dadah di pusat hiburan.

Setiap pek katanya dijual dengan harga RM300 hingga RM2,000 bergantung pada kuantiti dan jenis bahan.

“Dadah jenis MDMA itu paling popular di pusat hiburan dan boleh menyebabkan mereka yang mengambil dadah ini tidak tidur 48 jam, mereka mencampurkan dalam pek minuman segera bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah dan empat lelaki itu mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah.

“Semua lima individu itu direman tujuh hari hingga 23 Mac ini untuk membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :