Sumber Grafik Media Selangor
AGENDANASIONAL

Penganalisis jangka prestasi perdagangan negara alami pemulihan kukuh

KUALA LUMPUR, 19 MAC: Prestasi perdagangan Malaysia pada 2024 dijangka mengalami pemulihan yang kukuh, didorong oleh unjuran peningkatan dalam perdagangan global dan prospek yang lebih baik bagi industri semikonduktor global, menurut penganalisis.

Public Investment Bank Bhd dalam satu nota penyelidikan hari ini menjangkakan perdagangan Malaysia tahun ini akan disokong oleh unjuran pemulihan dalam perdagangan global dan prospek yang lebih cerah dalam eksport elektronik di tengah-tengah pemulihan kitaran teknologi.

“Oleh itu, kami meramalkan eksport barangan serta perkhidmatan Malaysia meningkat semula sebanyak 5.4 peratus pada 2024, dengan import naik pada 6.8 peratus, walaupun ini tertakluk kepada semakan jika keadaan global semakin merosot,” katanya.

Tambahan pula, pergantungan negara terhadap kekayaan ekonomi pemain utama seperti Amerika Syarikat, China dan Kesatuan Eropah akan menimbulkan risiko kepada perdagangan Asean.

Sama juga, Kenanga Research mengekalkan unjuran pertumbuhan eksport Malaysia tahun ini pada kadar 9.4 peratus (2023: -8.0 peratus) melalui jangkaan pemulihan dalam eksport elektrik dan elektronik (E&E) serta pemulihan permintaan dari China, khususnya menjelang separuh kedua 2024.

Pertumbuhan eksport akan bertambah baik secara berperingkat dalam bulan-bulan akan datang, dengan kemungkinan pengembangan dua angka menjelang akhir tahun, didorong oleh peningkatan dalam sektor teknologi dan ekonomi China yang stabil selain sokongan daripada rangsangan kerajaan yang berterusan.

“Bagaimanapun, kami mengekalkan pandangan berhati-hati berikutan potensi gangguan daripada ketegangan geopolitik yang boleh mengganggu rantaian bekalan dan aktiviti perdagangan global.

“Pemulihan yang lebih perlahan daripada jangkaan di China juga mungkin mengehadkan potensi pertumbuhan, terutamanya dalam sektor berorientasikan eksport,” katanya dalam nota berasingan.

Firma penyelidikan itu juga menjangkakan pemulihan dalam sektor berorientasikan eksport pembuatan, di samping pertumbuhan permintaan dalam negeri yang dipacu oleh kadar pengangguran yang lebih rendah dan pendapatan isi rumah yang bertambah baik.

“Oleh itu, kami mengunjurkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar bagi 2024 kekal pada 4.5-5.0 peratus (2023: 3.7 peratus),” katanya.

Sementara itu, Maybank Investment Bank Bhd berkata bagi tahun ini, ia menjangkakan eksport serta import melonjak semula, masing-masing sebanyak 4.7 peratus dan 5.6 peratus.

“Pemacu utama bagi unjuran kenaikan semula eksport tahun ini ialah prospek pemulihan dalam kitaran elektronik selepas Perangkaan Perdagangan Semikonduktor Dunia menjangkakan jualan semikonduktor global melantun kembali sebanyak 13.1 peratus pada 2024,” katanya dalam nota berasingan.

Walaupun eksport E&E masih menyusut dari tahun sehingga sekarang, Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia menjangkakan industri itu akan pulih menjelang separuh kedua 2024, katanya.

– BERNAMA


Pengarang :