Orang ramai tidak melepaskan peluang mendaftar dan mengemas kini sistem Pangkalan Data Utama (Padu) di Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Buaya, Kuala Langat pada 29 Mac 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Hampir 40 peratus penduduk Selangor sudah daftar Padu

KUALA LANGAT, 29 MAC: Pendaftaran sistem Pangakalan Data Utama (Padu) dalam kalangan penduduk Selangor meningkat hampir 40 peratus, maklum Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pihaknya dimaklumkan banyak kaunter Padu di negeri ini mula diserbu orang ramai sejak minggu lalu.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin ditemui pemberita selepas melawat kaunter pendaftaran Padu di Dewan Orang ramai Kampung Sungai Buaya, Kuala Langat pada 29 Mac 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

“Di Selangor pendaftaran sudah capai 1.45 juta individu atau 34.3 peratus. Walaupun Selangor antara terendah dari segi peratus tetapi bilangannya tinggi berbanding negeri lain.

“Sejak minggu lepas kita terima banyak pendaftaran baharu. Peningkatan yang kita rekodkan adalah sebanyak 30 hingga 40 peratus berbanding bulan lalu,” katanya.

Terdahulu beliau meninjau kaunter pendaftaran dan pengemaskinian Padu diiringi Pengarah DOSM negeri Hartini Yaacob di Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Buaya di sini, hari ini.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin melawat kaunter pendaftaran Padu di Dewan Orang ramai Kampung Sungai Buaya, Kuala Langat pada 29 Mac 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Berhubung peratusan pendaftaran Padu yang masih rendah di Selangor, Mohd Uzir menjelaskan penduduk negeri ini kebanyakannya adalah golongan belia selain memiliki pendapatan isi rumah tinggi berbanding negeri lain.

Malah, tambahnya, ada juga penduduk yang mengambil mudah kerana beranggapan semua perkhidmatan dan tawaran kerajaan hanya tersedia begitu sahaja.

“Kebanyakan mereka yang berpendapatan tinggi ini melihat sistem Padu hanyalah untuk mereka yang memerlukan bantuan dan mereka berasa boleh berdiri di atas kaki sendiri.

“Sebenarnya sistem ini membantu kerajaan mengenalpasti kumpulan rakyat supaya perkhidmatan yang disedia tidak disia-siakan dan kerajaan juga boleh menambahbaik apa yang perlu,” katanya.

Padu yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Januari lalu menjadi platform tunggal maklumat individu dan isi rumah, sekali gus meningkat kecekapan pengagihan subsidi serta bantuan kepada rakyat yang layak.

Pendaftaran boleh dibuat melalui laman sesawang www.padu.gov.my bermula 2 Januari sehingga 31 Mac ini.


Pengarang :