Skuad Harimau Malaya berlepas ke Muscat, Oman dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 17 Mac 2024 dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027. Foto Facebook Persatuan Bolasepak Malaysia
AGENDASUKANKINI

Harimau Malaya berlepas ke Oman tanpa Matthew Davies akibat kecederaan

SEPANG, 17 MAC: Skuad Harimau Malaya menerima tamparan menjelang aksi getir Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 menentang Oman di Muscat minggu depan, selepas ketua pasukan Matthew Davies terpaksa disisihkan akibat kecederaan.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan selain Matthew yang mesra disapa Matt, Junior Eldstal juga tidak menyertai skuad bimbingan Kim Pan Gon ke Muscat, akibat kecederaan.

Keputusan itu dibuat selepas Johor Darul Ta’zim (JDT) menerusi satu surat rasmi kepada FAM memaklumkan bahawa kedua-dua pemain pertahanan itu, mengalami kecederaan semasa perlawanan latihan Khamis lalu.

“Justeru JDT memohon pengecualian buat kedua-dua pemain berkenaan untuk melapor diri bersama skuad kebangsaan dan akan menjalani rawatan pemulihan selanjutnya bersama kelab. Laporan kecederaan dilampirkan dalam surat tersebut,” kata Pan Gon dalam kenyataan hari ini.

Dengan ketiadaan Matt yang mengetuai pasukan sewaktu Piala Asia 2023 di Qatar, Januari lepas dan Junior, Pan Gon membawa seramai 24 pemain bagi menggalas cabaran Malaysia menentang Oman di Kompleks Sukan Sultan Qaboos pada 22 Mac ini (2 pagi waktu Malaysia).

Skuad Harimau Malaya berlepas ke Muscat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini, pagi ini.

Skuad Harimau Malaya berlepas ke Muscat, Oman dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 17 Mac 2024 dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027. Foto Facebook Persatuan Bolasepak Malaysia

Sementara itu pemain pertahanan kiri Daniel Ting berkata ketiadaan Matt itu merupakan satu kehilangan besar untuk pasukan dalam berhadapan perlawanan yang penting namun percaya kekosongan itu, memberikan peluang kepada pemain lain untuk menunjukkan kebolehan mereka.

“Tentunya satu kehilangan besar, Matt ialah kapten pasukan dan tentunya anda mahu kapten berada bersama, namun kita mempunyai banyak pilihan dalam skuad dan ia satu peluang untuk sesiapa yang jurulatih letak pada kedudukan itu, mungkin saya akan isi peluang itu,” kata pemain Sabah FC berusia 32 tahun itu.

Daniel berkata beliau pernah bermain di sebelah kanan sebelum ini dan bersedia untuk menyahut cabaran bermain di bahagian itu semula, menentang Oman.

“Jika itu yang jurulatih mahu saya lakukan, tiada masalah. Saya pernah bermain posisi itu sebelum ini… saya rasakan ia bukan posisi biasa saya, tetapi saya bersedia untuk lakukan apa sahaja yang diperlukan,” katanya.

Selepas menentang Oman di Muscat, Malaysia yang berada di ranking dunia ke-132 sekali lagi akan bertemu pasukan nombor 80 dunia itu, di Stadium Nasional di Bukit Jalil 26 Mac ini.

Kemudian, pasukan negara akan bertemu Kyrgyzstan di Bishkek pada 6 Jun dan menamatkan saingan kumpulan D menentang Taiwan di Bukit Jalil pada 11 Jun.

Malaysia kini menerajui saingan Kumpulan D dengan mengumpul enam mata, diikuti Oman kedua yang berkongsi tiga mata bersama Kyrgyzstan di tempat ketiga, manakala Taiwan tercorot tanpa sebarang mata.

Dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan mengesahkan tempat ke saingan Piala Asia 2027, sementara dua pasukan terbawah akan beraksi dalam pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027.

Malaysia menyasarkan untuk layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia buat julung kali.

– BERNAMA


Pengarang :