Gambar hiasan
AGENDAJENAYAH

Ibu kelar bayi kunjungi rumah jiran beri donat sehari sebelum kejadian

PASIR GUDANG, 17 MAC: Ibu yang disyaki mengelar bayinya sehingga mati semalam, sempat berkunjung bersama suami dan anak tunggal mereka ke rumah jiran untuk memberikan kuih donat sebagai juadah berbuka puasa sehari sebelum kejadian tragis itu.

Perkara berkenaan dimaklumkan jiran yang enggan namanya disiarkan dan mengaku terkejut dengan kejadian menimpa mangsa berusia setahun enam bulan di kawasan perumahan mereka di Taman Cahaya Masai, di sini.

“Mereka sekeluarga sempat memberi donat kepada kami sekeluarga dan jiran lain.

“Sebelum ini, jiran saya itu okey saja dan apabila berjumpa bertegur sapa. Wanita itu juga selalu dilihat membawa anaknya keluar berjalan-jalan,” katanya sambil memaklumkan tidak pernah melihat atau mendengar suara bayi itu menangis atau pasangan terbabit bertengkar di rumah, lapor Berita Harian.

Terdahulu, media melaporkan seorang wanita disyaki mengelar leher bayi lelakinya sebelum menghantar gambar mangsa yang berlumuran darah kepada suami melalui kiriman WhatsApp, semalam.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar, dipetik berkata pihaknya menerima laporan kira-kira jam 1.30 tengah hari berhubung kes seorang bayi berusia setahun enam bulan maut dipercayai dikelar ibu kandung di sebuah kawasan perumahan dekat Pasir Gudang.


Pengarang :