Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan merangkap Ahli Parlimen Kota Raja Datuk Seri Mohamad Sabu ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri sempena Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada 19 Mac 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kerajaan umum skim baharu penstrukturan beras, padi negara dalam masa terdekat

KUALA LUMPUR, 19 MAC: Skim baharu penstrukturan beras dan padi negara akan diumumkan dalam tempoh terdekat selepas kerajaan selesai mendapatkan pandangan semua pihak menerusi sesi libat urus yang sedang diadakan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata skim penstrukturan itu perlu bagi memperbanyakkan bekalan kerana pengeluaran beras putih tempatan hanya 62 peratus di negara ini dengan 50 peratus diedarkan untuk pasaran.

“Ini merupakan penyusunan jangka masa panjang kerana masalah (bekalan) beras putih ini akan tetap bermasalah selagi kita tidak cukupkan beras di Malaysia. Sebab itu, semua pihak termasuk Ahli Parlimen akan dilibatkan dalam sesi libat urus agar mereka boleh memberikan pandangan.

“Ini adalah masalah negara, bukan masalah parti atau masalah kaum tetapi masalah negara yang menuntut penyelesaian bersama kerana siapa sangka musim panas mendadak tahun ini misalnya boleh menyebabkan kekurangan hasil,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Pesawah menanam padi di Sungai Leman, Sekinchan. Foto ARKIB SELANGORKINI

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang ingin tahu langkah luar biasa yang akan dilakukan kerajaan bagi mengatasi isu kekurangan beras putih tempatan di pasaran ketika ini.

Mohamad berkata mengikut perancangan, kementerian berhasrat untuk membuka ladang baharu di Sarawak, Sabah, Johor, Perak dan Pahang untuk memperbanyakkan lagi bekalan beras putih dalam negara.

“… sebab kalau tidak dan nak dijual dengan harga sedia ada, akan berlaku berbagai-bagai tuduhan yang mengatakan ada beras campur dan sebagainya. Jadi permasalahan ini berterusan tapi kita bukan nak lihat perkara ini (tumpu masalah saja) sebaliknya kita kena cari jalan penyelesaian yang boleh melegakan semua pihak,” katanya.

Menjawab soalan tambahan dari Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) yang ingin tahu sama ada kerajaan merancang untuk memberikan wang pesawah yang terkesan dengan musim panas dan kering di Kota Belud dan Papar ketika ini, Mohamad berkata perkara itu tertakluk kepada penilaian jawatankuasa penilaian Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP).

“Kadar bantuan diberikan kepada pesawah menerusi TBTP ini adalah RM876 per hektar dengan jumlah maksimum bantuan kepada pesawah yang layak adalah terhad kepada kawasan musnah seluas tiga hektar.

“Tahun lalu, RM12 juta disalurkan dan untuk Sabah, ia (pemberian bantuan) melibatkan kawasan seluas 219 hektar khususnya di Kota Belud,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :