Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menandatangani poster ketika majlis pelancaran Buku: Malapetaka Iklim / Memahami Fenomena Pemanasan Dunia dan Buku Komik Ke Mana Hilangnya Katak Hijau di PJ Live Arts Theartre, Petaling Jaya pada 21 Februari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Kitaran malapetaka iklim jejas keperluan hidup manusia

Sedutan ucapan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sempena pelancaran buku Malapetaka Iklim: Memahami Fenomena Pemanasan Dunia dan buku komik Ke Mana Hilangnya Katak Hijau karya Hishamuddin Rais pada 21 Februari di Petaling Jaya.

Alhamdulillah saya rasa sangat gembira pada hari ini, dapat bekerjasama dengan rakan-rakan yang bukan kenal setahun dua, malah puluhan tahun, untuk menganjurkan program pelancaran buku yang terpamer di hadapan ini.

Sudah pasti pada hari ini kita menyedari bahawa ada perubahan yang besar dari segi istilah dan aspek pemanasan global, atau bergerak kepada perubahan iklim, dan sekarang kita mengistilahkannya sebagai malapetaka iklim.

Setiap detik dan perubahan istilah ini sudah pasti memberi kesan kepada kehidupan seharian kita dan sudah pasti dirasai, bukan hanya dibimbangi, kehadirannya.

Ketika Naib Presiden Amerika Syarikat, Al Gore, memberikan ucapan pada tahun 2001, menyebut tentang pemanasan dunia pada ketika itu, istilah-istilah yang kita dengar pada hari ini amat lumrah.

Isu-isu peningkatan suhu dunia, paras air laut dan pelbagai perkara yang kita akan dengar sepanjang forum ini, atau dalam perbicaraan kita tentang hal ehwal alam sekitar, akan diikuti pula dengan malapetaka iklim.

Malapetaka iklim kita akan dengar tentang bagaimana perubahan yang mendadak dalam kehidupan seharian kita melalui pelbagai dokumen dan buku.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika majlis pelancaran Buku: Malapetaka Iklim / Memahami Fenomena Pemanasan Dunia dan Buku Komik Ke Mana Hilangnya Katak Hijau di PJ Live Arts Theartre, Petaling Jaya pada 21 Februari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Ia bukan lagi ramalan terhadap gejala yang berlaku, terhadap peningkatan suhu, peningkatan paras air laut, atau bagaimana kita dapat melihat perubahan suhu dan cuaca yang mendadak, tetapi kita rasai kesan-kesannya sekarang.

Kesan-kesan itu meliputi banyak perkara termasuk dalam kehidupan kita, baik daripada keselesaan hidup, sampailah bagaimana manusia dapat meneruskan kehidupan di dunia ini.

Mungkin tadi abang Adi Satria Ahmad ceritakan pengalaman beliau melihat bagaimana kejadian tanah runtuh di kejiranan beliau di Bukit Antarabangsa, dan ini bukan kali pertama.

Selepas itu ada rentetan pelbagai insiden tanah runtuh yang berlaku. Pada hari ini, kalau boleh saya sebutkan, tanah runtuh bukan lagi hanya tertumpu di daerah Gombak, termasuk kawasan Bukit Antarabangsa, tetapi beberapa daerah lain sudah mula mencatatkan kejadian dan bencana tanah runtuh.

Kejadian banjir besar pada tahun 2021, sebagai contoh, telah merekodkan kejadian tanah runtuh di Genting Peras, Hulu Langat yang menyebabkan kawasan tersebut tertutup selama beberapa tahun. Mungkin belum lagi dibuka untuk awam sampai hari ini.

Pada tahun 2022 sebenarnya kita dapat lihat kejadian tanah runtuh di Batang Kali, Hulu Selangor yang meragut beberapa nyawa. Di samping dua peristiwa yang saya sebutkan tadi, di Majlis Perbandaran Selayang sebagai contoh, Kerajaan Negeri terpaksa mengeluarkan belanja lebih daripada RM3 juta pada tahun 2022 sahaja untuk membantu menyelesaikan atau merawat kejadian tanah runtuh yang dihadapi tersebut.

Suhu sejuk melampau

Tetapi itu bukanlah satu-satunya bencana yang kita rasai dan kita terkesan daripada masalah perubahan iklim ini. Masalah-masalah lain ialah berkenaan dengan bekalan makanan.

Pada hari ini, seluruh dunia berdepan dengan satu ketidaktentuan tentang bekalan makanan.

Perubahan ekstrem cuaca – keadaan suhu yang mendadak naik dan tinggi dan kadang-kadang terlalu ekstrem rendah – seperti di Otawara, Jepun yang merekodkan -16 darjah Celcius.

Wilayah Heilongjiang, China sebagai contoh mencatatkan sehingga -53 darjah Celcius.

Perubahan melampau ini akan memberi kesan langsung kepada tanaman atau sumber makanan yang perlu kita siapkan.

Dan atas sebab itu, kali pertama pada tahun 2024, Kerajaan Negeri terpaksa menyediakan satu peruntukan bagi menyediakan tempat penyimpanan dan bekalan makanan untuk kegunaan Selangor dalam tempoh tiga hingga enam bulan. Kita akan sediakan lebih kurang RM50 juta hingga RM60 juta.

Kalau sebelum ini masalah kitaran makanan tidak menjadi isu, tidak menjadi hal yang dibimbangi. Namun hari ini, Kerajaan Negeri Selangor sendiri terpaksa menyediakan bekalan itu akibat kesan kekurangan beras yang berlaku dalam tempoh beberapa bulan lepas. Begitu juga kestabilan bekalan ayam akibat kenaikan harga makanan ternakan.

Jadi, isu bekalan makanan ini, walau nampak seolah-olah kecil, tetapi ia akan memberi kesan besar. Kesan itu sampailah kepada kualiti tumbesaran atau pertumbuhan anak-anak kita.

Catatan-catatan kecil ini mungkin bukan disebabkan oleh malapetaka iklim secara langsung. Di kawasan bandar yang padat, misalnya di Lembah Klang, hasil kajian yang dijalankan, kita dapati ada beberapa masalah tumbesaran anak yang dipanggil sebagai ketot.

Semua ini masalah nyata yang perlu dihadapi Kerajaan Negeri bawah kepemimpinan EXCO Dr Siti Mariah Mahmud, sebelum YB Anfaal Saari atau YB Jamaliah Jamaluddin. Kita membelanjakan sebahagian peruntukan untuk memberi makanan yang cukup untuk penghuni pangsapuri kos rendah bagi mengurangkan masalah kekurangan zat makanan.

Kekurangan gizi ini bukan sahaja merendahkan saiz badan tetapi juga akan memberi kesan kepada pertumbuhan otak dan cara mereka berfikir.

Semua ini sebahagian contoh rentetan satu kitaran ganas, vicious cycle, yang boleh dianggap punca awal kepada malapetaka iklim yang kita perlu hadapi. Bukan akan datang tetapi kita telah rasai pada hari ini.

Banjir tahun 2021 adalah pengalaman nyata yang dirasai oleh semua. Sebenarnya rentetan kejadian banjir itu bukan hanya berlaku tiba-tiba, tetapi telah ada isyarat dan simbol tertentu.

Kalau kita mengimbau tahun 2017, kejadian bah besar yang hampir sama di negeri kita pernah berlaku di mana? Ia berlaku di Pulau Pinang.

Tidak lama sebelum itu, pada 2014, berlaku banjir lebih besar di Kelantan yang berpunca daripada penggondolan kawasan hulu sungai. Kejadian ini mencatatkan rekod paling buruk berbanding tempoh beberapa puluh tahun sebelumnya.

Bertindak selepas bencana

Kita berpatah balik ke tahun 2006 atau 2007. Kejadian banjir yang hampir sama berlaku di Kota Tinggi dan beberapa daerah di Johor Darul Takzim.

Di mana lagi berlaku kejadian ini, misalnya 2013? Ia berlaku di Pahang seperti di Kuantan, termasuklah Indera Mahkota. Saya tahu sedikit sebanyak tragedi ini sebab saya turun sendiri sebagai sukarelawan di Kelantan, Pahang dan pastinya Selangor.

Tapi ketika bah besar berlaku di Johor, kita belum lagi terlibat secara langsung. Namun saya dapat melihat secara jelas unsur-unsur yang sama, hujan yang turun pada kadar yang tinggi, pada waktu yang singkat.

Dan ia turun dengan mendadak dan tiada persediaan awal berdepan bencana tersebut. Masalahnya di negara kita hari ini, kita sedia bertindak selepas bencana berlaku.

Pempamer dari Eco Lestari Strategy Nasuha Jebat menunjukkan model program adiwira sungai kepada kanak-kanak pada majlis pelancaran buku: Malapetaka Iklim / Memahami Fenomena Pemanasan Dunia dan Buku Komik Ke Mana Hilangnya Katak Hijau di PJ Live Arts, Petaling Jaya pada 21 Februari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Bagaimana dengan kesediaan awal kita atau kesiapsiagaan kita berdepan dengan bencana yang akan berlaku?

Justeru pada tahun 2020 dan 2021, Kerajaan Negeri bersama Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), memulakan kajian melihat bagaimana paras laut menjejaskan beberapa lokaliti.

Negeri juga ingin menyediakan data untuk berdepan kejadian tanah runtuh terutamanya di lokaliti Bukit Antarabangsa dan juga daerah Hulu Langat. Semua yang disebut ini masalah pertama: makanan dan bencana bersama masalah-masalahnya.

Kesan kedua pula, bagaimana penyakit merebak. Penyakit berjangkit bukan hanya dalam situasi bencana. Ya, sudah pasti bencana akan merebakkan penyakit-penyakit berjangkit. Yang saya maksudkan, bagaimana kita berdepan dengan pandemik?

Wabak Covid-19 yang kita hadapi pada tahun 2020 sampailah 2022 sebenarnya ada isyarat dan simptom tertentu. Antaranya, yang paling jelas, perebakan sindrom pernafasan akut teruk (SARS), bermula dalam tempoh dua dekad sebelumnya. Pada peringkat awal itu, mungkin Selangor dan Semenanjung tidak terkesan teruk.

Kita boleh menoleh ke belakang lagi, dekad akhir sebelum tahun 2000. Pada akhir 1990-an, negara berdepan dengan situasi yang dinamakan wabak Japanese Encephalitis (JE).

Apa yang saya hendak sebutkan di sini, bagaimana wabak atau pandemik bermula dan berkembang. Iklim yang ekstrem dan tidak menentu mendorong agen penyakit atau vektor seperti nyamuk atau kelawar membiak lebih banyak.

Saya suka mengingatkan pasukan pentadbiran saya di Selangor. Bencana seperti itu, sama ada wabak penyakit, banjir besar atau tanah runtuh, akan berulang dengan kerap daripada biasa. Mungkin, dalam skala lebih besar.

Kali terakhir kejadian banjir di Lembah Klang yang kita hadapi pada awal tahun 1970-an dan kemudian berulang pada 2021. Suka saya ingatkan, ia mungkin berlaku lebih kerap lagi, tidak perlu menunggu sehingga 30 atau 50 tahun lagi.

Cabaran kitar semula

Seperti saya sebut tadi – perkembangan JE, kemudiannya SARS, sampailah kepada peristiwa Covid-19. Kita di Selangor misalnya masih lagi berdepan masalah denggi.

Isunya sekarang, dengan kejadian dan situasi yang saya sebut tadi, apakah langkah-langkah dasar yang wajar dan patut dilakukan?

Kalau kita lihat beberapa dokumen penting, selain perkembangan Revolusi Industri 4.0, kita juga akan mendengar idea tentang kemampanan. Misalnya matlamat pembangunan mampan (SDG), suatu ketika dahulu konsep seperti ini agak asing diperkatakan.

Ketika 2018, pertama kali menjadi menteri besar, kita anjurkan satu perjumpaan. Perkara yang dibincang antaranya bagaimana pergerakan kerajaan harus bersandarkan pada 17 matlamat SDG yang telah digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Pada hari ini, saya fikir semua syarikat atau institusi cuba merapati SDG itu. Ia bukan hanya di dalam kertas tetapi harus menjadi pembudayaan. Pembudayaan inilah yang menjadi cabaran begitu besar.

Saya ambil contoh pertama, kitar semula. Kita dengar istilah kitar semula atau tong sampah kitar semula semenjak saya di bangku sekolah menengah lagi. Sekarang saya sudah berumur 44 tahun.

Namun pada hari ini, saya boleh katakan, belum ada lagi pihak-pihak berkuasa tempatan di Malaysia yang boleh mendakwa telah berjaya mengamalkan sepenuhnya konsep kitar semula.υ

Saya nampak yang paling berjaya dalam perkara ini ialah Hari Tanpa Plastik. Kita mulakan di Selangor. Kita dituduh gila sebab tidak membenarkan plastik digunakan tetapi pada hari ini agenda tersebut telah menjadi misi negara. Hari Tanpa Plastik ini sepatutnya paling mudah daripada isu kawalan tersebut.

Contoh kedua, apabila negeri seperti Selangor mencatatkan pertumbuhan yang agak tinggi. Tahun 2022, Selangor mencatatkan 11 peratus peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding tahun sebelumnya, pencapaian tinggi selepas wabak Covid-19.

Tetapi isunya adalah penghijrahan masuk penduduk atau migration. Selangor satu-satunya negeri di Malaysia yang terus mencatatkan pertumbuhan migrasi yang besar semenjak 1970-an.

Di tahun 1970-an, beberapa negeri mencatatkan peningkatan penghijrahan penduduk disebabkan aktiviti ekonomi tertentu. Tetapi Selangor meneruskan tradisi dan momentum itu sampai ke hari ini kerana pesatnya kegiatan ekonomi di sini.

Aktiviti manusia itu, bukan hanya kenderaan yang bergerak tetapi bahan buangan dan kumbahan yang perlu diuruskan dengan saiz dan had tertentu. Akhirnya kita tidak ada pilihan.

Sisa kepada tenaga

Walaupun ia bukan satu keputusan pentadbiran yang popular tetapi akhirnya kita terpaksa mengambil keputusan. Contohnya, mengalih tapak pembuangan sisa pepejal atau membuka kaedah pengurusan sisa pepejal yang menjana tenaga (waste to energy atau WTE).

Walau pelbagai pandangan muncul, ada yang mengkritik dan membantah, kita tiada pilihan. Sebab apa? Sebabnya, kalau kita terus bergantung pada kaedah pembuangan di tapak sisa pepejal dan gagal pula menguruskan kitar semula tadi, tapak tersebut pasti makin besar.

Kita sekarang masih bercakap soal kitar semula, sudah puluhan tahun tetapi masih gagal melaksanakannya, akhirnya nanti kita terpaksa menyediakan tapak buang sampah lebih besar daripada kawasan perumahan penduduk!

Kenyataan inilah yang kita perlu hadapi. Teknologi WTE terkini sudah mampu walau masih ada bantahan dibuat berkenaan pelepasan sisa cemar. Namun akhirnya kita perlu membuat keputusan. Kita terpaksa membina satu kaedah sesuai.

Kini kita masih berurusan dengan semua pihak untuk memastikan akhirnya kaedah selamat boleh diterima ramai. Setakat ini kita tiada pilihan selain kaedah WTE, sisa kepada tenaga, untuk menguruskan pembuangan sampah.

Saya tahu tidak popular untuk bercakap topik ini tetapi saya harus tegaskan. Pada hari ini, di semua negara maju yang lebih ke depan, mereka tidak lagi bergerak kepada kaedah lama, sebaliknya bergerak kepada sisa kepada tenaga.

Perkara seterusnya yang harus kita siap siagakan dan sediakan adalah bagaimana menyediakan ekosistem.

Pada hari ini, apabila pembakaran bahan api fosil menjadi masalah besar dalam kehidupan kita, dengan pelepasan gas rumah hijau dan sebagainya, kita seolah-olah ada kemahuan untuk bergerak ke arah kenderaan elektrik.

Tetapi kenderaan elektrik (EV) juga akan mengeluarkan sisa daripada bateri. Sisa seperti itu terkandung dalam telefon, televisyen atau peralatan lain di rumah kita. Komputer dan gajet elektronik memerlukan bateri yang mengandungi bahan yang boleh merosakkan alam.

Jadi, kita kena bertindak cepat. Apakah ekosistem kita? Bukan hanya menempah EV Tesla atau BYD akan menyelesaikan masalah. Kita mesti melihat seluruh ekosistem EV termasuklah pelupusan bahan sisa terbabit.

Kumpul air hujan

Keprihatinan masyarakat secara menyeluruh tentang isu ini saya rasa bukan lagi isu. Di majlis pelancaran buku ini juga ramai yang hadir. Di peringkat dunia, daripada kenyataan Al Gore lebih 20 tahun lalu sampailah wira baharu Greta Thunberg, promosi alam sekitar bukan lagi isu.

Isunya sekarang bagaimana menangani secara nyata isu sampah, bahan buangan elektronik, sisa daripada kenderaan elektrik sampailah kepada dasar yang menyeluruh. Yakni bagaimana melaksanakan dan mengimbangi imaginasi pertumbuhan ekonomi dengan kemampanan hidup kita seluruhnya.

Kita mesti cuba melaksanakannya dengan betul, hatta sampai kepada perkara-perkara kecil. Sebab itu, kepada YB Jamaliah, saya letakkan beberapa tugas kecil antaranya berkaitan kitar semula.

Kita bukan hanya perlu ada dasar tetapi juga program nyata termasuk berapa banyak dana perlu dibelanja untuk membudayakan kitar semula. Katakanlah, kita mahu mencapai tahap 50 peratus kejiranan kita mengamalkan kaedah kitar semula.

Kedua, tentang bagaimana kita mengumpul air hujan atau menguruskan air hujan. Secara realiti, penggunaan air di Selangor melebihi kadar yang telah ditetapkan. Kita juga sering ambil mudah, konon air akan sentiasa sampai ke rumah kita.

Kita nanti harus mengambil langkah, misalnya melaksanakan dasar pelepasan sifar bukan hanya untuk kilang tetapi juga untuk restoran bagi menjamin bekalan air yang mampan. Saya sebut pengumpulan air hujan sebagai contoh bagaimana ia dapat dipopularkan dan dibudayakan.

Jadi, idea seperti ini antara langkah kecil yang saya rasa ada kesannya. Sebab isunya bukan lagi kebimbangan suhu dunia akan naik, akan berlaku bencana. Hakikatnya saat ini kita sendiri sudah dapat rasakan kekurangan makanan atau penyebaran penyakit seperti Covid-19.

Sekarang ini apa lagi usahanya yang kita boleh dan mesti buat? Apa langkah yang kita boleh buat itu sama-sama kita cuba rungkaikan dalam forum hari ini.

Dengan ini kita rasmikan buku Malapetaka Iklim: Memahami Fenomena Pemanasan Dunia dan juga Ke Mana Hilangnya Katak Hijau.


Pengarang :