EXCO Pertanian Ir Izham Hashim meninjau gerai jualan ketika Karnival Pertanian Madani Kota Raja 2024 di Wisma KoHijrah, Shah Alam pada 3 Mac 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Negeri kekalkan harga barangan program JER, bantu ringan belanja rakyat

SHAH ALAM, 4 MAC: Kerajaan Negeri memberi jaminan bahawa semua harga barangan ditawarkan dalam program Jualan Ehsan Rahmah (JER) dikekalkan seperti sebelum ini.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata tindakan itu selaras hasrat pentadbiran Kerajaan Negeri yang mahu meringankan beban rakyat terutama ketika menyambut Ramadan.

“Baru-baru ini memang ada isu kenaikan harga dan penyelarasan program jualan tetapi Kerajaan Negeri berhasrat untuk kekalkan harga lama sehingga satu masa lain.

“Setakat ini, kita kekalkan harga lama dan hendak pastikan rakyat terima manfaat terutama menjelang Ramadan dan Aidilfitri,” katanya selepas merasmikan Karnival Pertanian Madani Kota Raja 2024 di pekarangan Wisma Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (Kohijrah) di sini, semalam.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri juga akan meningkatkan kekerapan program jualan murah menjelang Ramadan dan Aidilfitri bagi menampung keperluan rakyat.

“JER pada Ramadan akan ditingkatkan begitu juga dengan Aidilfitri. Kita akan bincang lokasinya tetapi itu bukan isunya kerana yang penting meningkatkan kekerapan jualan,” katanya.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM13).

Tahun ini, jualan kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu dijangka menjelajah ke 46 lokasi dengan lebih 120,000 rakyat menerima manfaat.

Selain menganjurkan JER di lokasi terpilih setiap hari kecuali Jumaat dan cuti umum, PKPS turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Segi Fresh bagi memperluas capaian kepada penduduk setempat.

Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan http://linktr.ee/myPKPS


Pengarang :