PBTSELANGOR

MBSA anjur iftar di Masjid Al-Ehsan Seksyen 24 pada Jumaat

SHAH ALAM, 19 MAC: Orang ramai dipelawa memeriahkan Majlis Iftar Bandaraya Shah Alam 2024/1445H yang akan diadakan di Masjid Al-Ehsan Seksyen 24 di sini, Jumaat ini.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memaklumkan pihaknya memperuntukkan juadah berbuka puasa percuma kepada 1,000 orang selain pengisian pelbagai program menarik.

“Antara pengisian menarik ialah bacaan taranum al-Quran oleh pemenang Naib Johan Tilawah al-Quran peringkat Wilayah Persekutuan 2022 dan 2023, Ammar Mukhlis.

“Kita juga ada sesi tazkirah bertajuk Bukan Hamba Ramadan yang akan disampaikan pendakwah bebas, Salman Maslori serta kehadiran selebriti Raqib Majid,” katanya menerusi Facebook.

Menurut MBSA program iftar perdana itu turut diserikan dengan penyampaian sumbangan kepada anak-anak yatim selain solat Magrib, Isyak dan tarawih berjemaah.

Tambahnya aturcara majlis yang bermula jam 6 petang hingga 10.30 malam itu dijangka disempurnakan oleh Datuk Bandar Cheremi Tarman.


Pengarang :