Kakitangan dan sukarelawan program MYSaveFood@Bazar Ramadan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) mengagihkan lebihan makanan kepada golongan memerlukan pada 27 Mac 2024. Foto Facebook Majlis Perbandaran Kuala Selangor
PBTSELANGOR

MPKS kumpul hampir 86 kilogram lebihan makanan bazar, diagih elak bazir

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

SHAH ALAM, 28 MAC: Sebanyak 85.74 kilogram lebihan makanan dikumpul pada hari pertama program MYSaveFood@Bazar Ramadan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) semalam.

Pihak berkuasa tempatan itu memaklumkan lebihan makanan daripada peniaga Bazar Ramadan IADA Kuala Selangor itu diedar ke Rumah Tunas Harapan Tengku Ampuan Rahimah Kuala Selangor yang dihuni 80 orang.

“Program ini bertujuan mengelakkan pembaziran makanan dan mengurangkan penghantaran sisa makanan ke tapak pelupusan,” katanya menerusi Facebook.

MPKS memaklumkan kutipan seterusnya akan diadakan pada 29 Mac ini diikuti 1, 3, 5 dan 8 April di lokasi sama.

“Sehubungan itu, peniaga digalakkan menyumbang lebihan makanan tidak terjual untuk disumbangkan kepada golongan memerlukan mahupun pusat kebajikan,” katanya.

Sukarelawan program MYSaveFood@Bazar Ramadan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) mengumpul lebihan makanan sebelum mengagihkannya kepada golongan memerlukan pada 27 Mac 2024. Foto Facebook Majlis Perbandaran Kuala Selangor

Program MYSaveFood@Bazar Ramadan MPKS dibantu sukarelawan dari Selangor Technical Skills Development Centre (STDC) dan Kolej Intra Kuala Selangor yang disokong Pejabat Penyelaras Bukit Melawati.

Untuk pertanyaan lanjut, boleh hubungi Afdhal Ismail atau Shuhada Abu Bakar di talian 03-32891439.

Pada 20 Mac lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan program MySave Food@ Bazar Ramadan yang dirintis Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan diperluas ke semua PBT.

Program mengumpul makanan di bazar Ramadan adalah bagi membantu lebih ramai golongan memerlukan, setakat ini turut diikuti Majlis Perbandaran Sepang dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya sejak awal Ramadan lalu.


Pengarang :