Pengunjung membuat pemeriksaan kesihatan percuma pada Program Karnival Prihatin @ Kuala Langat di The Arc @ Bandar Rimbayu, Kuala Langat pada 17 Februari 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Orang ramai dipelawa sertai saringan kesihatan percuma di Seri Kembangan Ahad ini

SHAH ALAM, 28 MAC: Orang ramai dipelawa menyertai saringan kesihatan percuma peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Kembangan Ahad ini.

EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin memaklumkan program Selangor Saring itu berlangsung di dewan serba guna Seri Kembangan mulai 10 pagi hingga 2 petang.

“Saringan kesihatan percuma membabitkan penyakit tidak berjangkit (jantung, darah tinggi, kencing manis, buah pinggang) dan kanser (kolorektal, prostat, pangkal rahim, payudara).

“Selain itu, turut diadakan saringan mata (rabun, retina, glaukoma) serta pemeriksaan tambahan iaitu gigi, telinga dan fisioterapi,” katanya di Facebook.

Orang ramai digalakkan membuat pra pendaftaran menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan saringan ditawarkan berdasarkan penilaian faktor risiko individu melalui borang saringan awal di aplikasi itu.

“Hubungi Selcare di talian 1 800 22 6600 jika mengalami sebarang masalah berkaitan pendaftaran,” katanya.

Menerusi pembentangan Belanjawan 2024, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM3.2 juta bagi meneruskan saringan kesihatan percuma.

Program diperkenal bagi membantu penduduk mengesan penyakit lebih awal dengan menyasar individu mempunyai sejarah perubatan keluarga, obesiti dan mengamalkan gaya hidup tidak sihat.


Pengarang :