Penduduk Palestin mencari mangsa di bawah runtuhan bangunan yang musnah akibat serangan Israel di Khan Younis di selatan Semenanjung Gaza pada 17 Oktober 2023. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

Palestin umum kerajaan baharu tumpu krisis kemanusiaan di Gaza

RAMALLAH, 29 MAC: Presiden Palestin Mahmoud Abbas meluluskan pembentukan kerajaan baharu pada Khamis diketuai Mohammad Mustafa, menjadikannya perdana menteri ke-19 dalam sejarah negara itu.

“Perdana Menteri yang dilantik Mohammad Mustafa membentangkan program kerja kerajaan dan senarai cadangan pembentukan kepada Presiden Mahmoud Abbas,” lapor Agensi Anadolu memetik agensi berita rasmi Palestin, WAFA.

“Oleh itu, Presiden memberikan kepercayaan kepada kerajaan ke-19,” menurut agensi itu.

Kerajaan baharu itu mempunyai 23 menteri, di bawah kepimpinan Mustafa, yang mengekalkan jawatannya sebagai Menteri Luar.

Kerajaan baharu itu akan mengangkat sumpah perlembagaan di hadapan Abbas pada Ahad, kata WAFA.

Menurut agensi berita itu program kerja kerajaan baharu menekankan “rujukan politiknya kepada Pertubuhan Kebangsaan Palestin”.

Program itu termasuk “mengutamakan faktor kemanusiaan di Semenanjung Gaza”.

Sejak serangan rentas sempadan pada 7 Okt lepas, lebih 32,500 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 74,900 cedera di tengah-tengah kemusnahan besar-besaran dan kekurangan barang keperluan.

Tentera Israel juga telah mengenakan sekatan ke atas Semenanjung Gaza, menyebabkan sebahagian besar penduduk terutamanya penduduk di utara, di ambang kebuluran.

– BERNAMA


Pengarang :