AGENDANASIONAL

Penunggang motosikal maut dilanggar bas kilang

BALING, 29 MAC: Seorang penunggang motosikal lelaki maut dilanggar bas kilang dalam kejadian di Jalan Merbau Pulas-Kuala Ketil, berhampiran sebuah stesen minyak dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Baling Supt Shamsudin Mamat berkata dalam kejadian kira-kira 8.20 malam itu, mangsa, Ooi Su Ching, 43, yang bekerja sebagai pemandu jentera berat dipercayai dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Kuala Bakong ke rumahnya di Kuala Ketil.

“Ketika tiba di lokasi, sebuah bas yang cuba memotong sebuah kereta dihadapannya, telah melanggar motosikal ditunggang mangsa dari arah belakang.

“Motosikal mangsa ketika itu dipercayai sedang berada di lorong kanan untuk membelok masuk ke sebelah kanan jalan…mangsa yang mengalami cedera parah di kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shamsudin berkata pemandu bas kilang berusia 38 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Tujuh lagi penumpang bas yang merupakan pekerja kilang di Bayan Lepas, Pulau Pinang, masing-masing berusia lingkungan 23 hingga 46 tahun, juga tidak mengalami kecederaan.

“Mayat penunggang motosikal itu dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat manakala pemandu bas tersebut ditahan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :