Pengurus Bahagian Korporat PWS Muhammad Hafiz Bahari (kiri) menyampaikan cek cura sumbangan Wakaf Fisabilillah kepada Pengerusi Surau Pangsapuri Aranda Mohamad Hafiz Ahmad Ali (kanan) di Kota Kemuning, Shah Alam pada 16 Mac 2024. Foto PWS
AGENSISELANGOR

PWS serah sumbangan wakaf fisabilillah RM35,000 bantu naik taraf surau

SHAH ALAM, 17 MAC: Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) menyerahkan sumbangan Wakaf Fisabilillah berjumlah RM35,000 kepada Surau Pangsapuri Aranda, Kota Kemuning di sini, semalam.

Pengurus Bahagian Korporatnya Muhammad Hafiz Bahari berkata sumbangan wakaf itu bagi kerja naik taraf meliputi pemasangan karpet, alat siar raya dan dua penghawa dingin di surau terbabit.

“Semoga sumbangan ini memberi manfaat kepada jemaah surau dan menjadikan jariah yang mengalir kepada pewakaf yang menyumbang di PWS sehingga yaumulakhirah (hari akhirat),” katanya dalam kenyataan.

Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) membuka kaunter wakaf tunai di Surau Pangsapuri Aranda, Kota Kemuning pada 16 Mac 2024. Foto PWS

Beliau berkata kaunter wakaf tunai turut dibuka bagi memudahkan ahli surau dan penduduk Pangsapuri Aranda melaksanakan ibadah wakaf.

“Ayuh laksanakan wakaf tunai anda melalui PWS, saluran rasmi, diyakini dan dipercayai,” katanya.

Orang ramai yang mahu menunaikan wakaf tunai, boleh berbuat demikian secara dalam talian melalui pautan https://fpx.wakafselangor.gov.my.


Pengarang :