Foto Facebook Icelandic Queen of Aurora Borealis
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Tafsiran malam lailatul qadar tiga ulama tersohor dunia

Surah al-Qadr mengandungi lima ayat yang dikategori ayat Makkiyah, diturunkan di Makkah dan selalunya membawa tema asas memurnikan kepercayaan umat Islam.

Surah ke-97 daripada 114, al-Qadr yang disusun selepas surah al-‘Alaq menceritakan penurunan al-Quran pada lailatul qadar (malam ketentuan) dan keistimewaan malam itu.

Walau disebut-sebut jatuh pada satu daripada 10 malam terakhir Ramadan setiap tahun, waktu sebenar malam ganjil itu tidak ditetapkan. Dengan itu, umat Islam digalakkan terus-menerus beribadat dalam tempoh 10 hari agar sempat bertemu dengan malam agung tersebut.

Beribadah pada malam mulia itu digandakan pahalanya seperti beribadat seribu bulan. Pada malam itu juga doa dimakbulkan, manakala dosa diampunkan.

Selangorkini menyorot tiga sumber terkenal untuk menyelami makna surah itu.

Teks yang dirujuk: Tafsir al-Quran al-Azim tulisan Ibnu Kathir, Tafsir al-Munir (Dr Wahbah al-Zuhaili) dan Tafsir al-Azhar (Abdul Malik Abdul Karim Amrullah atau Hamka).

Karya Ibnu Kathir dianggap tafsir al-Quran klasik kedua terbaik selepas Tafsir at-Tabari. Ibnu Kathir menggunakan kaedah ayat al-Quran untuk menerangkan kembali ayat al-Quran itu sendiri, selain rujukan hadis.

Sementara Tafsir al-Munir pula lebih semasa hasil karangan ulama terkenal di Syria. Huraiannya mudah, teratur, lengkap dan sesuai dengan realiti zaman kini.

Manakala Tafsir al-Azhar dihasilkan ketika Hamka mengikuti kuliah subuh di sebuah masjid di Jakarta sejak 1958.

Huraian ringkas surah al-Qadr mengikut tiga ulama berkenaan seperti berikut:

Ayat pertama: “Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam lailatul qadar.”

Ibnu Kathir: Ayat ini menjelaskan al-Quran diturunkan pada malam lailatul qadar yang penuh keberkatan seperti yang disebut dalam ayat ketiga surah ad-Dukhan. Al-Quran diturunkan dalam bulan Ramadan seperti ayat 185 surah al-Baqarah.

Ibnu Abbas berkata Allah menurunkan al-Quran sekali gus ke Luh Mahfuz dan Baitul Izzah (langit dunia) sebelum diwahyukan kepada Junjungan Besar secara terperinci berdasarkan sebab dan peristiwa selama 23 tahun, termasuk 13 tahun di Madinah.

Dr Wahbah: Sesungguhnya Kami (Allah) mula menurunkan al-Quran pada malam lailatul qadar iaitu malam yang penuh keberkatan dan menyempurnakannya selama 23 tahun mengikut keperluan, realiti dan peristiwa.

Hamka: Ayat itu disimpulkan sebagai malam kemuliaan tertinggi kepada Nabi Muhammad kerana buat pertama kali pada waktu itu Jibril muncul di depan Baginda di Gua Hira’.

Ia dikenali malam penentuan yang memisahkan kufur dengan iman, jahiliyah dengan Islam dan syirik dengan tauhid.

Malam itu adalah malam yang istimewa daripada segala malam. Malam mulai terang-benderang wahyu datang ke dunia setelah terputus beberapa masa dengan habisnya tugas nabi terdahulu. Dan nabi yang kemudian ini Muhammad adalah penutup segala nabi dan rasul.

Ayat kedua: “Dan apa jalannya engkau (Muhammad) dapat mengetahui apa itu kebesaran malam lailatul qadar.”

Ibnu Kathir: Allah menceritakan tentang kebesaran malam lailatul qadar dengan penurunan al-Quran.

Dr Wahbah: Ayat bentuk pertanyaan itu menunjukkan betapa agungnya kekuasaan Allah yang menetapkan segala yang perkara dikehendaki-Nya seperti disebut ayat keempat surah ad-Dukhan.

Maksudnya: “Pada malam yang berkat itu dijelaskan kepada malaikat tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat dan tetap berlaku (tidak berubah dan bertukar).”

Hamka: Ayat ini pertanyaan Allah untuk menarik perhatian sama ada Rasulullah mengetahui keagungan malam lailatul qadar. Ia disifatkan pertanyaan yang memperkukuh perhatian kepada nilai, makna dan rahsia tersembunyi pada malam itu.

Ayat ketiga: “Malam lailatul qadar itu lebih baik daripada seribu bulan.”

Ibnu Kathir: Nas ini ditafsirkan tentang amal saleh pada malam lailatul qadar lebih baik daripada amalan dilakukan selama seribu bulan atau bersamaan 83 tahun empat bulan.

Dr Wahbah: Dengan terbukanya pintu syurga dan tertutup pintu neraka serta syaitan pula dirantai, maka seseorang yang menghidupkan malam lailatul qadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka diampunkan dosanya yang lalu.

Hamka: Keutamaan malam kemuliaan atau malam lailatul qadar itu sama dengan seribu bulan, lebih 80 tahun selanjut usia manusia.

Ayat keempat: “Pada malam itu, turun malaikat dan ruh (Jibril) dengan izin Allah kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlaku pada tahun berikut).”

Ibnu Kathir: Jibril dan malaikat lain turun ke langit dunia membawa rahmah dan keberkatan kepada individu yang membaca al-Quran, berzikir serta menaungi penuntut ilmu yang dengan sayap-sayap mereka pada malam itu.

Dr Wahbah: Malaikat turut mengaminkan doa manusia sehingga terbitnya fajar. Mereka juga membawa setiap urusan seperti takdir, rezeki, ajal dan maut yang telah ditentukan-Nya.

Hamka: Itulah sebab yang nyata dari kemuliaan itu. Laksana satu perutusan atau delegasi, malaikat-malaikat turun ke muka bumi ini bersama “ruh”, yakni ketua sekalian malaikat.

Ayat kelima: “Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar.”

Ibnu Kathir: Ayat ini menjelaskan malam lailatul qadar memberi kedamaian, keamanan, kebaikan dan kebajikan berterusan. Tiada kejahatan di dalamnya bermula tenggelam matahari hingga terbitnya fajar keesokan harinya.

Beberapa pandangan ulama menyatakan pada malam itu syaitan tidak berupaya berbuat kejahatan dan keburukan, ditentukan ajal dan rezeki seseorang, atau kesejahteraan kepada mereka yang beribadat di masjid sehingga terbitnya fajar.

Dr Wahbah: Malam itu dipenuhi keselamatan, keamanan, kebaikan dan keberkatan yang berterusan. Tiada keburukan daripada tenggelam matahari hingga terbitnya fajar.

Hamka: Malam itu adalah malam penuh kesejahteraan, malam damai dalam jiwa Rasulullah SAW. Sebab pada malam itulah Baginda diberi pengertian mengapa sebelumnya Baginda mengalami beberapa pengalaman ganjil.

Ibnu Kathir membentangkan perbahasan panjang dengan pelbagai jalur riwayat hadis. Lailatul qadar boleh berlaku pada malam ganjil 21, 23, 25, 27 atau 29 Ramadan.

Dr Wahbah berhujah Allah menyembunyikan ketepatan malam tersebut sebagai galakan kepada umat Islam mengerjakan ketaatan, tidak lalai, tidak malas dan lebih bersungguh-sungguh beribadah.

Hamka menyebut tidak kurang 45 sumber hadis tentang bila terjadinya malam lailatul qadar seperti dicatatkan Ibnu Hajar dalam karya Fathul Bari Syarah Sahih al-Bukhari.

Ia bermaksud tiada penentuan tarikh khusus dan jelas berlaku malam tersebut.

Kitab: Tafsir al-Quran al-Azim

Pengarang: Ismail Umar (Ibnu Kathir)

Kepakaran: tokoh tafsir kurun ke-14, hasil banyak karya khususnya tafsir, hadis, ulumul hadis, sejarah Islam dan fekah

Bila dikarang: (tiada tarikh tepat)

Tebal: Empat jilid

Kitab: al-Tafsir al-Munir fi al-‘Aqidah wal Shari’ah wal Manhaj

Pengarang: Wahbah Mustafa al-Zuhaili

Kepakaran: profesor Universiti Damsyik, anggota Majlis Tertinggi Fatwa Syria, Tokoh Maal Hijrah Malaysia pada 2008

Bila dikarang: siap 1988, diterbit 1991

Tebal: 16 jilid

Kitab: Tafsir al-Azhar

Pengarang: Abdul Malik Abdul Karim Amrullah (Hamka)

Kepakaran: ilmuwan Indonesia khususnya tasawuf, aktif berpolitik sehingga dipenjara, siap tafsir ketika jalani tahanan di rumah

Bila dikarang: 1959 hingga 1966

Tebal: 10 jilid

 


Pengarang :