BUDAYARENCANA

Tiada Kaabah di Kota Marudu

Oleh Aliaa Alina

Haji Ghafur melihat rangka Kaabah yang separuh siap di belakang rumah. Beberapa orang lelaki berkulit gelap gigih menyusun bata di bawah terik matahari.

Daripada permulaan ajaran itu, dia tekad mahu membina sebuah Kaabah untuk pengikutnya. Mereka semua terlalu miskin untuk pergi ke Kota Mekah. Ada juga yang telah ditipu berpuluh ribu ejen berserban tinggi dan berjubah labuh.

Alangkah bagusnya jika Khadijah ada bersamanya sekarang. Fikirnya, pasti gadis itu berasa gembira dapat melihat Kaabah di depan mata.

***

1. Haji Ghafur

Hidupnya bermula daripada kemiskinan. Dia ditinggalkan di depan rumah Syeikh Malbari ketika berumur 3 tahun. Tubuhnya malnutrisi dan berlumuran najis sendiri. Syeikh tersebut mempunyai seorang anak perempuan yang bernama Khadijah. Mereka membesar bersama, walaupun kebanyakan masa Khadijah duduk di dalam bilik manakala Haji Ghafur dijadikan hamba Syeikh Malbari.

Kehidupan tidaklah teruk – baginya -, walaupun setiap malam dia tidur bertilamkan lantai, dan hanya diberi makan sehari sekali. Mungkin adanya Khadijah membuatkan dia tidak peduli tentang penindasan itu. Ah, cinta anak muda, memang mengkhayalkan minda.

Malangnya pada usia muda, Khadijah membunuh diri dengan cara menggantung diri di kipas. Dan Syeikh Malbari pula ditahan polis atas tuduhan memperkosa anak perempuannya.

Semua pengikut syeikh tidak percaya beliau tergamak melakukan perbuatan jijik itu. Namun mereka semua percaya bahawa selama-lamanya Khadijah akan terperangkap di dalam neraka.

2. Anak lelaki

Haji Ghafur menghilangkan diri sebaik sahaja kematian Khadijah. Beribu batu dia berkelana sehingga sampai ke sebuah tempat bernama Kota Marudu. Dia berkahwin dengan seorang perempuan tempatan dan memperoleh anak lelaki dan anak perempuan. Hasil dibesarkan oleh seorang syeikh, maka Haji Ghafur sangat pandai mengaji. Di dalam kepalanya, dia mampu menghafal 30 juzuk al-Quran, tanpa ada terpesong pun tajwidnya.

Namun, menjadi guru mengaji membuatkan hidup keluarganya dibelenggu kemiskinan. Upah mengaji tak seberapa dan Haji Ghafur tidak pandai hal-hal bertukang ini. Isterinya lari mengikut seorang pemandu lori untuk keluar daripada kemelaratan hidup.

Walaupun kecewa, Haji Ghafur adalah seorang manusia yang kuat imannya. Dia percaya bahawa suatu masa kelak, perkhabaran gembira akan tiba untuk manusia yang sabar.

Berbelas tahun dia berseorangan membesarkan kedua anak itu. Dia sedaya upaya memberikan pendidikan terbaik kepada kedua-dua anaknya. Dia tidak pernah beristeri lain, mungkin dia rasa terhina dengan pengkhianatan lalu.

Atau mungkin juga dia tidak pernah dapat melupakan cinta pertamanya, Khadijah.

Apabila dewasa, anak lelakinya berjaya beroleh pekerjaan yang baik. Dia mendapat gaji yang agak lumayan dan sering memberi duit kepada bapa dan adik perempuannya, Fatimah yang menetap di kampung.

Suatu pagi, Haji Ghafur dikhabarkan anak lelakinya mati kemalangan. Tubuhnya telah hancur digilis lori, maka yang dikembalikan kepada Haji Ghafur hanyalah isi dan serpihan tulang.

3. Fatimah

Haji Ghafur tidak pernah membenarkan Fatimah keluar dari rumah dan bergaul dengan rakan sebaya. Dia tahu kebanyakan anak muda di kampung terlibat dengan dadah dan gemar menghidu gam. Cerita mudahnya, jika ada sepuluh keluarga di kawasan itu, lapan orang anak mereka akan menjadi penagih dadah.

Dahulu, sebelum mula mengajar Al-Quran, Haji Ghafur menceritakan tentang kenikmatan syurga kepada anak mengaji. Wajah mereka ceria mendengar makanan lazat yang dijanjikan di dalam syurga. Lagipun masing-masing datang ke kelas dengan perut kosong.

Malangnya, mereka menjadi dewasa dengan mencari syurga di dalam setin gam kasut.

Rutin harian, Haji Ghafur akan meninggalkan Fatimah berseorangan di rumah antara waktu Maghrib sehingga Isya’. Dia telah dilantik menjadi bilal di surau kampung. Suaranya cukup lunak, nafasnya terjaga sewaktu melaungkan azan di masjid kampung itu. Ketika dia muda, Syeikh Malbari menggelarnya sebagai Bilal Ar-Rabah Melayu.

Seperti kebiasaan, dia memastikan pintu rumah dikunci dan semua tingkap ditutup serapatnya. Malah, Fatimah disuruh duduk di dalam bilik tidur yang berkunci. Selepas Khadijah, Fatimah adalah perempuan yang paling disayangi di dalam dunia ini.

Malam itu, dia pulang ke rumah dan melihat pintu rumah telah terkopek seperti dilibas benda tajam.

Seluruh ruang tamu bersepah digeledah orang. Di dalam bilik tidur, dia terkedu melihat Fatimah terbaring berlumuran darah dengan kepala yang hampir terpenggal.

4. Kaabah

“Pernah encik kehilangan seorang anak perempuan kerana dibunuh oleh seorang penagih dadah?” soal Haji Ghafur kepada pegawai agama yang datang ke rumahnya.

Lelaki muda berjanggut itu menggeleng. Wajahnya cuak dikelilingi oleh pengikut Haji Ghafur di ruang tamu namun perbuatan batil harus dilawan.

“Saya harap tuan haji kembalilah ke jalan yang benar. Hentikanlah pembinaan Kaabah, ini perbuatan orang yang sesat dan kufur!”

Haji Ghafur menoleh dan menyentuh tangan seorang lelaki kurus yang bersongkok. Lelaki kurus itu duduk melutut lantas menunduk dan mencium kaki Haji Ghafur.

“Dialah yang menyembelih Fatimah semata-mata mahu merompak dua puluh ringgit di dalam rumah ini. Dan tubuh anak lelaki saya pula hancur berkecai kerana kecuaian orang lain. Encik pasti tidak pernah merasai kesakitan itu semua, tapi encik mendakwa lebih beriman daripada saya?”

5. Khadijah

Semenjak kecil lagi, impian Haji Ghafur adalah menjejak kaki di Kota Mekah. Dia ingin duduk di hadapan Kaabah, dan berdoa agar dipertemukan ibu dan bapanya yang sudah lama menghilangkan diri. Dan dia juga mahu berdoa semoga bertemu jodoh dengan Khadijah, gadis idaman.

Syeikh Malbari berkata, doa di hadapan Kaabah adalah doa yang pasti dimakbulkan oleh Tuhan.

Ketika dia berumur 15 tahun, Haji Ghafur pulang awal daripada mengaji al-Quran di sekolah tahfiz yang diusahakan oleh Syeikh Malbari. Melalui celahan tingkap, dia tergamam melihat lelaki tua itu memperkosa Khadijah di dalam bilik tidur. Dosanya paling besar pada Khadijah adalah dia membiarkan sahaja perbuatan hina itu dilakukan pada tubuh gadis itu.

Di hadapan Kaabah palsu, Haji Ghafur menangis tersengguk-sengguk memohon kemaafan dan berdoa. Semoga suatu hari nanti, Khadijah akhirnya dapat membebaskan dirinya daripada neraka.

 

 

 


Pengarang :