SELANGOR

Bomba Selangor rekod 19,046 panggilan kecemasan tahun lalu

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 25 JAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor mencatatkan sebanyak 19,046 panggilan kecemasan, bagi tempoh Januari hingga Disember 2017.

Pengarahnya, Azmi Osman berkata, jumlah itu membabitkan 12,559 panggilan menyelamat, 6,396 kebakaran dan 85 tugas-tugas khas.

“Daripada jumlah itu, sebanyak enam panggilan palsu turut direkodkan dalam tempoh terbabit. Ini membabitkan kerugian hartanah dan harta benda bernilai RM832.6 juta, manakala RM29.54 bilion berjaya diselamatkan.

“Berdasarkan nilai harta yang diselamatkan, ia dapat dikaitkan dengan kecekapan operasi pemadaman oleh anggota bomba yang berjaya mengawal kebakaran dengan cepat sebelum merebak,” katanya kepada SelangorKini.

Azmi berkata, daripada kes kebakaran, jabatan itu merekodkan 31 kematian, 72 cedera, manakala 97 lagi berjaya diselamatkan.

“Sementara itu, bagi tugas menyelamat pula menunjukkan 188 kematian, 1,078 cedera dan 1,146 berjaya diselamatkan.

“Statistik turut merekodkan Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh menerima 1,356 panggilan kebakaran dan kecemasan tertinggi berbanding balai lain, dalam tempoh sama.

“Ianya meliputi 1,004 panggilan menyelamat, 347 panggilan kebakaran dan lima panggilan tugas-tugas khas,” katanya.

Beliau berkata, daripada kes kebakaran itu, tiga meninggal dunia dan satu cedera, manakala bagi kes menyelamat, seramai 13 cedera, enam selamat dan empat lagi meninggal dunia.

Ia membabitkan kerugian harta bernilai RM64 juta, manakala RM115 juta lagi berjaya diselamatkan.


Pengarang :