SELANGOR

Jambatan Raja Muda Nala atasi kesesakan dua jambatan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 25 JAN: Pembinaan Jambatan Ketiga Klang atau Jambatan Raja Muda Nala tepat pada masanya ekoran pembangunan pesat di kawasan sekitar ketika ini.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, perancangan membuat jambatan itu bertujuan mengurangkan kesesakan dua jambatan sedia ada, di bandar klang.

Katanya, secara kasar projek terbabit berjaya memberi manfaat yang sangat besar kepada penduduk khususnya Selat Klang.

“Ini adalah kerana penduduk tidak perlu melalui Bandar Klang untuk ke Utara juga Selatan lagi. Sebagai contoh, penduduk dari Rantau Panjang (Utara Klang) perlu melalui Bandar Bukit Tinggi.

“Namun, selepas terbinanya jambatan ini, mereka mempunyai jalan pintas ke Bukit Tinggi. Ini secara tidak langsung memendekkan perjalanan kira-kira 20 hingga 30 minit dan mengurangkan 20 peratus trafik, di Bandar Klang,” katanya kepada SelangorKini.

Zaidy berkata, bagi jangka masa panjang, Kerajaan Negeri menjangkakan kawasan sekitar akan membangun dan memberi keuntungan kepada penduduk serta kerajaan.

“Pembangunan ini akan merancakkan ekonomi setempat dan membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

“Kejayaan pelaksanaan projek ini menjadi tanda aras keprihatinan Kerajaan Negeri yang begitu mengambil berat terhadap permasalahan rakyat dan penduduk setempat dalam usaha menangani kesesakan lalu lintas terutama, di pusat bandar Klang,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri Selat Klang, Dr Halimah Ali mengalukan pelebaran projek jambatan itu yang sudah pasti memberi manfaat kepada penduduk.

Katanya, dengan jaringan kemudahan infrastruktur yang terbaik, maka penduduk, pekerja, peniaga dan pelajar akan menikmati pelbagai kemudahan.


Pengarang :