RENCANA

Peristiwa sebalik Perkara 48

OLEH NAZLI IBRAHIM

Isu sekatan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk terbabit dalam politik atau dipilih sebagai Ahli Parlimen selama lima tahun selepas menjalani hukuman penjara nanti menjadi topik perbualan hangat, sejak kebelakangan ini.

Sekatan yang dikenakan itu bukan sahaja menyebabkan Anwar tidak boleh bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), malahan beliau juga harus menjalani ‘tempoh edah’ selama lima tahun, sekali gus merencatkan rancangan Pakatan Harapan menamakan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh.

Sekatan yang dikenakan itu selaras dengan peruntukan Perkara 48 fasal 1 (e) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan seseorang itu hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Negeri (ADN) jika dijatuhi hukuman penjara tidak kurang setahun atau didenda tidak kurang RM2,000 oleh mana-mana mahkamah, di Malaysia.

Anwar sebelum ini juga pernah hilang kelayakan untuk bertanding dalam PRU-12 pada 2008 apabila menjalani ‘tempoh edah’ akibat hukuman penjara enam tahun berkaitan kes fitnah rasuah dan salah guna kuasa.

Selain Anwar, Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli turut berhadap risiko hilang kelayakan bertanding dalam PRU-14 apabila dijatuhkan hukuman 18 bulan penjara di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) kerana memiliki dokumen rahsia kerajaan.

Bagaimanapun, Rafizi masih berpeluang memfailkan kes beliau, di peringkat Mahkamah Persekutuan.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad pada Januari 2017 juga hampir hilang kelayakan apabila didenda RM2,900 oleh Mahkamah Rendah Syariah selepas didapati bersalah mengajar agama Islam tanpa tauliah di sebuah surau di Klang, enam tahun lalu.

Bagaimanapun pada November lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Salehan Yatim mengurangkan jumlah denda dari RM2,900 kepada RM1,900 bermakna Khalid masih layak bertanding pada PRU-14.

Selain hukuman yang dijatuhkan mahkamah, Pekara 48 fasal 6 turut memperuntukkan seseorang Ahli Parlimen hilang kelayakannya jika beliau sengaja melepaskan keahliannya sebagai Ahli Parlimen.

Isu hilang kelayakkan faktor meletak jawatan ini pernah dialami Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh dan Ketua Pembangkang pada 31 Julai 2008 untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding dalam pilihan raya kecil.

Krisis perlembagaan 1998 

Selain itu, peristiwa Tan Sri Shahrir Samad melepaskan jawatannya sebagai Ahli Parlimen Johor Bahru pada 1988 pula dianggap sebagai punca yang membawa kepada penambahan fasal 6 sebelum dikuatkuasakan, pada 11 Mei 1990.

Peristiwa perletakan jawatan ketika krisis perlembagaan 1998 sedang memuncak itu juga dianggap sebagai salah satu peristiwa penting yang pernah terakam dalam sejarah politik negara.

Fasal 6 menyatakan “seseorang yang melepaskan keahliannya di dalam Dewan Rakyat hendaklah, bagi tempoh lima tahun bermula daripada tarikh pelepasan keahliannya berkuat kuasa, hilang kelayakan untuk menjadi ahli Dewan Rakyat”.

Peletakan jawatan Shahrir selepas Umno diharamkan itu dibuat dipercayai untuk membuktikan kekuatan sentimen Tun Musa Hitam di Johor, sekali gus menolak barisan kepimpinan Umno yang menang Pemilihan Umno 1987.

Rentetan peletakan jawatan itu, satu Pilihan Raya Kecil diadakan pada 25 Ogos 1988 dan Shahrir sudah bertanding semula di kerusi sama menggunakan tiket bebas dengan simbol kunci.

Dalam kempen yang hebat dan sengit iaitu ketika ahli-ahli UMNO masih meratapi musibah yang menimpa Umno, akhirnya Shahrir menang.

Dalam politik negara, sehingga kini Shahrir adalah satu-satunya calon bebas di Semenanjung yang pernah memenangi pilihan raya.

Kemenangan Shahrir itu memberi isyarat bahaya kepada Umno, sekal igus meletakkan Umno Johor yang dianggap sebagai kubu kuat Umno berada dalam keadaan goyah.

Beliau memperoleh 23,581 undi mengalahkan calon Barisan Nasional, Mas’ud Abdul Rahman (10,968 undi) dan Abdul Razak Ahmad (PSRM) memperoleh 2,260 undi.

Peristiwa itu menyebabkan fasal 6 ditambah dalam Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan pada 11 Mei 1990 bagi memastikan tiada ahli Dewan Rakyat dengan sengaja meletakkan jawatan.

Faktor lain punca hilang kelayakan 

Faktor lain menyebabkan seseorang hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen apabila seseorang diisytiharkan tidak sempurna akal, seorang bankrap, gagal menyerahkan apa-apa penyata perbelanjaan pilihan raya seperti dikehendaki undang-undang.

Bagaimanapun, Perkara 48 turut menyebut kehilangan kelayakan seseorang di bawah perenggan (d) fasal 1 iaitu kegagalan menyerahkan penyata perbelanjaan pilihan raya dan perenggan (e) fasal 1, dijatuhkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun atau denda tidak kurang RM2,000 oleh mahkamah boleh dibatalkan oleh Yang DiPertuan Agong.

Hal ini bertepatan dengan langkah Pakatan Harapan memohon pengampunan Yang Dipertuan Agong terhadap sabitan kepada Anwar, sekali gus membolehkan beliau serta merta bertanding dalam mana-mana kerusi parlimen.

Selain itu, Ahli Parlimen yang secara sukarela memperoleh kewarganegaraan mana-mana negara di luar persekutuan atau dengan sukarela menggunakan hak kewarganegaraan di mana-mana negara luar atau sudah membuat suatu akuan setia kepada mana-mana negara luar juga dilucutkan kelayakannya.


Pengarang :