BERITA UTAMASELANGOR

PRU11: Pak Lah bukan ‘wow factor’ BN menang besar

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 23 JAN: Kemenangan terbesar diraih Umno-Barisan Nasional (BN), pada Pilihan Raya Umum ke-11 (PRU11), pada 2004 bukan disebabkan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE), Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman sebaliknya berkata, hal itu ekoran kuasa persempadanan semula yang sentiasa memihak kepada parti berkenaan.

“Ramai yang kata kemenangan BN pada masa itu adalah faktor Pak Lah (Abdullah), namun sebenarnya ia kesan persempadanan semula yang dilaksanakan selepas PRU10,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Forum Demokrasi: “Persempadanan Kawasan Pilihan Raya Untuk Mengekalkan Kemenangan BN: Dimana Hak Pengundi”, di Auditorium IDE, di sini, hari ini.

Katanya, persempadanan semula dilaksanakan apabila Umno-BN mendapati undi diperolehi, pada PRU10 merosot teruk ekoran kemarahan rakyat khususnya pengundi Melayu berhubung kes fitnah ke atas Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, Dr Mohammad Redzuan berkata, pembangkang berjaya menafikan kemenangan dua pertiga Umno-BN, pada PRU-12 apabila wujud tsunami politik yang tidak diduga.

“Jika kekal dengan persempadanan sedia ada, amat sukar untuk BN menang dua pertiga tetapi dengan persempadanan baru, kemungkinan itu ada.

“Ia bergantung kepada sejauh mana persempadanan dapat dilaksana berdasarkan model dan reka bentuk dilakukan serta dinamik yang boleh menimbulkan pelbagai kesan,” katanya.


Pengarang :