SELANGOR

PWB DUN Bangi anjur Bengkel OKU Biz Online

OLEH SABIRAH AZIZ

BANGI, 28 JAN: Kira-kira 30 peserta orang kelainan upaya (OKU) hari ini menyertai Bengkel OKU Biz Online di Masjid Al-Hasanah, Seksyen 9, Bandar Baru Bangi di sini.

Bengkel anjuran Pusat Wanita Berdaya (PWB) DUN Bangi itu turut mendapat kerjasama Persatuan OKU Berdaya Hulu Langat, Pusat Khidmat ADN Bangi serta Masjid Bandar Seri Putra, Kajang.

Penyelia PWB DUN Bangi, Mariah Hussain berkata, bengkel sehari itu bertujuan meningkatkan kemahiran golongan OKU dalam bidang Internet selain memberi bimbingan terperinci kepada peserta bagi memulakan perniagaan atas talian secara kreatif.

“Di samping itu, ia dapat memberi motivasi kepada peserta dari segi ilmu dan kemahiran menceburi bidang perniagaan.

“Antara pengisian bengkel adalah slot motivasi, latihan dalam kumpulan, sesi praktikal iaitu membina halaman serta memuat naik status di media sosial seperti Facebook dan Instagram, mengambil dan menyunting gambar dari telefon pintar dan membuat ayat ‘copyright’,” katanya.

Turut hadir, Pengerusi Persatuan OKU Berdaya Hulu Langat, Syed Muhamad Abdullah.

Bengkel OKU Biz Online bakal memberi suntikan semangat dan motivasi kepada peserta dan secara tidak langsung menyemai motivasi intrinsik dalam diri mereka ke arah lebih cemerlang dan progresif.


Pengarang :