SELANGOR

Selangor tuntut jaminan tiada sabotaj isu air

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 17 JAN: Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Pengurusan Sumber Air Selangor (JPK-SAS), Ng Sze Han menuntut jaminan tidak berlakunya unsur sabotaj terhadap pentadbiran negeri membabitkan isu air.

Beliau berkata, tidak mustahil unsur sabotaj boleh berlaku ketika musim Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Ahli Dewan Negeri Kinrara itu menegaskan, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) bertanggungjawab sepenuhnya memastikan pengurusan air negeri terkawal sepanjang tempoh itu.

“Di pihak JPK-SAS, kami berharap tiada unsur sabotaj daripada pihak tertentu, lebih-lebih lagi musim pilihan raya semakin hampir.

“Kita berharap Air Selangor dapat menjalankan peranan sebaiknya untuk memastikan kemudahan air, di Selangor dapat berfungsi dengan baik dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Taklimat JPK-SAS, di Bangunan Annexe, semalam.

Mengulas saranan berkenaan, Pengurus Operasi Air Selangor, Ir Abas Abdullah berkata, beberapa pendekatan baru dilaksanakan bagi menghalang sebarang unsur sabotaj dirancang pihak tertentu.

“Berpegang kepada amanah dan tugas yang dipertangungjawabkan, kami percaya Air Selangor akan memberikan perkhidmatan terbaik dan bertintegriti.

“Memandangkan pilihan raya sudah semakin hampir, kami percaya unsur (sabotaj) itu memang boleh berlaku, namun kami akan segera mengambil tindakan dan menjalankan kerja pemantauan kolam dan sebagainya.

“Amaran dan pemantuan secara keras juga akan dilaksanakan bagi menjaga kepentingan awam,” katanya.


Pengarang :