SELANGOR

Masalah peniaga Pasar Pagi Inai perlu perhatian MPAJ

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 17 JAN: Ahli Dewan Negeri Chempaka, Dato’ Iskandar Abdul Samad akan berbincang bersama Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) supaya caj kos pembersihan dan pengurusan, di Pasar Pagi Inai, Pandan Indah diturunkan.

Beliau dalam kenyataan berkata, perbincangan turut merangkumi cadangan mengubah jadual kutipan caj harian kepada dua hari sekali bagi mengurangkan beban peniaga.

Katanya, hal itu kerana beliau menerima aduan daripada peniaga berkenaan kemerosotan pendapatan, selain jumlah pengunjung turut berkurangan.

“Seorang peniaga, Koo Ting Ming yang menjual surat khabar dan roti menerangkan kepada saya secara terperinci masalah dihadapi dengan pendapatan sehari sekitar RM20.

“Bagaimanapun, beliau perlu membayar RM4 sehari kepada MPAJ untuk kos pembersihan dan pengurusan pasar terbabit, sekali gus menyebabkan pendapatan bersih harian beliau susut sekitar RM15 hingga RM16 sehari,” katanya.

Justeru, Iskandar berkata, permohonan peniaga terbabit supaya bayaran diturunkan kepada RM2 adalah wajar memandangkan bilangan peniaga kecil, di pasar terbabit dan tidak menjana banyak sampah.

“Saya berharap MPAJ akan dapat mempertimbangkan permohonan ini.

“Saya mencadangkan MPAJ tidak memungut caj ini setiap hari tetapi dua hari sekali untuk meringankan beban peniaga,” katanya.


Pengarang :