BERITA UTAMASELANGOR

Sultan Kedah dikurnia Darjah Kerabat Selangor Yang Amat Dihormati

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 25 JAN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menganugerahkan Darjah Kerabat (D.K.) Yang Amat Dihormati kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah dalam satu majlis penuh istiadat, di Balai Singgahsana, Istana Bukit Kayangan, di sini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin; Raja Muda Selangor, DYTM Tengku Amir Shah dan KDYMM Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff dan Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abd Wahid.

Darjah Kerabat (D.K.) Yang Amat Dihormati adalah Darjah Kebesaran yang tertinggi sekali, di Selangor Darul Ehsan.

Darjah Kebesaran itu dizahirkan pada tahun 1961 yang mengandungi seutas Kalung, Lencana Kalung, Bintang Darjah, Selepang dan Lencana Selepang yang dikurniakan kepada kaum Kerabat Diraja, di Malaysia.

Di samping itu, ia juga dianugerahkan kepada raja negara lain sebagai tanda penghormatan dan persahabatan yang akrab dengan baginda.

Bilangan maksima keseluruhan keahlian darjah itu ialah 25 orang.

Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, dimasyhurkan sebagai Sultan Kedah ke-29 pada 12 September 2017 kerana kemangkatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Baginda diputerakan di Alor Setar pada 30 April 1942 dan adalah anakanda kesembilan Almarhum Sultan Badlishah iaitu Sultan Kedah hasil perkongsian hidup dengan Sultanah Asma Sultan Sulaiman yang juga puteri Sultan Terengganu, Almarhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah.

Tunku Sallehuddin yang dibesarkan di Istana Anak Bukit dimasyhurkan sebagai Raja Muda Kedah, pada 15 Disember 2016.


Pengarang :