PBTSELANGOR

Denggi: MPKj hantar pasukan khas bantu MPK

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KAJANG, 28 FEB: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) bersedia menghantar pasukan khas bagi membantu Majlis Perbandaran Klang (MPK) membasmi lokaliti hospot dan masalah denggi di daerah itu.

Yang Dipertuanya, Mohd Sayuti Bakar berkata, jawatankuasa khas bakal diwujudkan selaras saranan Kerajaan Negeri yang menyarankan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) secara konsisten memerangi habitat Aedes.

“Ini sememangnya arahan daripada Kerajaan Negeri supaya PBT lain membantu kerana amalan ini dilaksanakan sejak dua tahun lalu.

“Setiap kali ada PBT lain berdepan masalah, memang ada PBT yang turun membantu dari aspek penyelidikan, penghapusan habitat jentik-jentik dan aktiviti penyemburan (fogging),” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita pada sidang media Mesyuarat MPKj, di Menara MPKj, pagi ini.

Pada masa sama, MPK hari ini secara proaktif melancarkan melancarkan kenderaan promosi ‘Gempur Aedes’ bagi tujuan promosi dan hebahan kepada penduduk sekitar.

Yang DiPertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, kenderaan Perodua Bezza model Premium X terbabit dilengkapi sistem siaraya dan berinformasi bagi menguar-uarkan kepentingan mencegah Aedes.

Untuk rekod, kawasan MPK mencatatkan 6,745 kes termasuk enam kes membabitkan kematian, tahun lalu.

Manakala, dalam tempoh dua bulan tahun ini, sebanyak 1,047 kes dilaporkan.

Mohamad Yasid berkata, dua kawasan hotspot dikenal pasti menyumbang kepada wabak itu adalah Andalas (52 kes) dan Meru (30 kes).


Pengarang :