SUKANKINI

EPL: Liverpool benam Southampton, terus buru tempat kedua

OLEH AFIX REDZUAN

LONDON, 12 FEB: Liverpool terus mendekatkan jarak dengan Manchester United menerusi perbezaan dua mata bagi mengejar tempat kedua Liga Perdana Inggeris apabila mudah menewaskan Southampton 0-2.

Roberto Firmino menceriakan pasukan pelawat dengan gol pembukaan seawal minit keenam apabila menolak mudah hantaran Mohamed Salah bagi kedudukan semasa 0-1.

Southampton kembali memperkemas corak permainan dan sesekali menguji penjaga gol Liverpool, Loris Karius tetapi gagal menembusi pertahanan lawan.

Sebaliknya, Firmino melakukan aksi terbaik apabila melorongkan bola ke belakang menerusi gerakkan satu-dua bagi membolehkan Salah mencatatkan nama selaku penjaring gol kedua pada minit ke-42.

Bersambung babak kedua, Liverpool lebih menguasai permainan menerusi gerakkan Sadio Mane, Salah dan Firmino tetapi gagal menambah jaringan.

Sebaliknya, Jurgen Klopp menggantikan Firmino dan Salah pada 15 minit terakhir permainan sebagai persediaan bertandang ke FC Porto bagi aksi pertama pusingan kalah-mati Liga Juara-Juara Eropah minggu hadapan.

Keputusan 2-0 kekal sehingga tamat permainan dan Liverpool mengumpul 52 mata di tangga ketiga sementara Southampton menghuni kelompok tiga terbawah liga dengan 26 mata.

 

Foto Kredit: Telegraph.co.uk


Pengarang :