SUKANKINI

FMLLP sokong kenyataan TMJ isu pendaftaran pasukan

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 20 FEB: Sekretariat Perkongsian Terhad Liabiliti Bola Sepak Malaysia (FMLLP) menyokong kenyataan Pengerusinya, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, berhubung isu dokumentasi dan pendaftaran membabitkan beberapa pasukan dalam Liga Malaysia (Liga M).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam, berkata tidak wujud perbalahan di antara pihaknya bersama Tunku Ismail berkaitan perkara itu dan kenyataan dikeluarkan adalah kekecewaan akan situasi bola sepak negara.

“Sekretariat FMLLP menyokong penuh kepimpinan Tunku dan kenyataan baginda adalah kekecewaan yang wujud hasil dari persepsi sesetengah pihak menunding jari kepadanya setiap kali wujud situasi di mana sesuatu hukuman bakal dilakukan,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, FMLLP mahu mengenakan potongan mata dan hukuman kepada persatuan bola sepak tidak melengkapkan dokumen pendaftaran pasukan yang bertanding dalam Liga M.

Beliau berkata, kekecewaan itu kerana baginda bekerja keras memastikan liga dan setiap pasukan terjamin untuk jangka masa panjang dengan pelaburan berjaya diperolehi serta secara realiti harapan semua di dalam Liga M mahu melihat kemajuan dari segi profesionalisme.

“Bola sepak Malaysia sudah berada di landasan betul, pelaburan yang sudah mula masuk dengan nilai lumayan.

“Adakah pihak berkaitan tahu mereka sedang menghalang kemajuan dengan mengeluarkan kenyataan bijak pandai mereka yang serba tahu bukan sahaja mengenai pengurusan FA dan liga malah Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Gabungan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA),” katanya.

Dalam kenyataan, Tunku Ismail meluahkan kekecewaan dan berpandangan FMLLP tidak perlu mengambil tindakan sedemikian serta membiarkan sahaja penaja melihat sendiri kenapa liga bola sepak negara tidak boleh berkembang.

Pasukan yang gagal melengkapkan dokumen pendaftaran mengikut tarikh ditetapkan ialah dua pasukan Liga Super iaitu Kelantan dan Kuala Lumpur serta empat pasukan Liga Perdana, Sarawak, Pulau Pinang, Kuantan FA dan PDRM.

Dua pasukan Liga Super pula, Selangor dan PKNS FC juga MIFA dan UKM FC (Liga Perdana) melengkapkan proses pendaftaran melepasi 3 Februari lalu.

FMLLP melanjutkan tarikh penghantaran dokumen sebanyak dua kali selepas tarikh asal pada 29 Disember 2017 iaitu pada 14 Januari dan kemudian 3 Februari lalu.

=EZY=


Pengarang :